Rabu, 29 Disember 2021

Omicron: Langkah terakhir mungkin tangguh umrah

 Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kerajaan mungkin akan menangguhkan ibadah umrah ke Makkah jika situasi penularan varian Omicron di Arab Saudi meningkat dan jangkitan dalam kalangan jemaah tempatan berada pada tahap membimbangkan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia belum sampai tahap (tangguh ibadah umrah) itu lagi dan kerajaan tidak mahu melakukan keputusan terburu-buru.

Beliau berkata, buat masa ini, jemaah umrah yang baharu pulang ke tanah air akan dipakaikan peranti digital bagi memudahkan pemantauan.

“Jika situasi makin membimbangkan, kita mungkin akan meletakkan jemaah umrah yang baru pulang ke pusat kuarantin dan langkah terakhir mungkin menangguhkan ibadah umrah.

“Kita masih memantau situasi penularan itu di Arab Saudi dan langkah-langkah kesihatan lain,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Katanya, pihaknya juga akan berbincang dengan syarikat pelancongan umrah bagi memastikan setiap bakal jemaah mengambil dos penggalak terlebih dahulu sebelum pergi menunaikan ibadah umrah.

Khairy Jamaluddin berkata, jemaah umrah yang sudah pulang dinasihatkan agar melakukan ujian saringan kendiri Covid-19 setiap hari sepanjang tempoh kuarantin. -K! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.