Jumaat, 31 Disember 2021

MN, PN perlu diperkasa demi kuasa politik Islam: Majlis Syura

 

Demi kepentingan penyatuan umat Islam, Majlis Syura Ulama PAS menyatakan pendirian agar perlunya Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) diperkasakan bagi mengelak sebarang perpecahan.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata hanya dengan langkah penyatuan tersebut kuasa politik umat Islam dapat dipertahankan demi maslahah terbaik buat Islam dan negara.

“Perundingan kerusi antara parti-parti Melayu-Islam perlu dilaksanakan semaksimanya bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dan bagi mendapat kemenangan dengan majoriti besar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Majlis Syura terdahulu mengadakan muzakarah yang berlangsung semalam bagi membincangkan hala tuju taawun siyasi dan misi PAS bagi PRU-15.

Untuk rekod PAS sebelum ini mewujudkan kerjasama dengan Umno melalui MN dan menyertai PN yang diterajui Bersatu yang membentuk kerajaan selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Umno dalam perhimpunan agung tahunan sebelum ini membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu.

Pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, UMNO bersendirian menentang PN dan PH sekali gus berjaya menguasai negeri itu.

Sementara itu, Hashim berkata semangat taawun siyasi dalam MN dan PN juga hendaklah sentiasa disuburkan oleh pimpinan dan ahli parti-parti politik Melayu-Islam dengan pertemuan bersemuka dan bermusyawarah secara berterusan.

“Masing-masing hendaklah sentiasa berlapang dada, saling memaafkan dan mengelak dari menjadikan media terbuka termasuk media sosial sebagai medium perantaraan bagi menyelesaikan krisis dan pertikaian,” katanya.

Untuk rekod, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini sekali lagi mengumumkan mereka akan mempertahankan semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi parti itu pada PRU-14 lalu.

Anak murid Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga berkata tidak akan berkompromi pembahagian kerusi dengan PN, malah menyatakan keyakinan akan menyapu bersih semua kerusi yang ditandingi parti itu.

Zahid juga berkata Kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ yang dipimpin Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanya berbentuk sementara sahaja dan akan bertukar apabila UMNO kembali menjadi dominan nanti di Putrajaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.