CADANGAN menjenamakan Sabah dan Sarawak sebagai Tanah Besar Malaysia tidak membawa sebarang keistimewaan kepada kedua-dua negeri itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, kerajaan berpandangan istilah sedia ada dalam undang-undang iaitu Malaysia Timur adalah memadai.
Beliau berkata, berdasarkan semakan undang-undang yang dibuat Jabatan Peguam Negara, didapati istilah Tanah Besar Malaysia tidak pernah digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada.
“Penjenamaan itu tidak membawa apa-apa, kerana ia hanya bagi easy reference, tidak menambah atau menolak apa-apa keistimewaan kepada mana-mana negeri,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran) mengenai sama ada kerajaan akan mengkaji untuk menjenamakan Sabah dan Sarawak sebagai Tanah Besar Malaysia memandangkan Federation of Malaya sudah sekian lama dinamakan sebagai Semenanjung Malaysia.
Menurutnya di bawah undang-undang sedia ada, terdapat beberapa istilah yang digunakan seperti East Malaysia dan Peninsular Malaysia.
Tambahan pula katanya, cadangan pindaan Perkara 1(2) seperti yang diperuntukkan dalam Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 sekiranya diluluskan kelak, akan memperuntukkan kembali istilah Negeri-Negeri Borneo bagi merujuk kepada Sabah dan Sarawak.
Pada 3 November lepas, kerajaan membentangkan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat antaranya untuk memasukkan negeri-negeri Tanah Melayu dan negeri-negeri Borneo.
Bacaan kali kedua rang undang-undang itu dijangka dibuat pada sesi Dewan Rakyat ini. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.