ALOR SETAR – Pelancong terkejut apabila perlu membayar RM4 untuk sekeping roti canai kosong di sebuah gerai di Pulau Langkawi baru-baru ini.
Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, selepas kejadian harga ikan siakap lebih RM1,000, kini pihaknya menerima pula aduan roti canai mahal di pulau tersebut.
Katanya, pengadu mendakwa gerai roti canai di tepi jalan itu mengenakan caj RM4 bagi sekeping roti canai biasa.
“Walaupun kita sedia maklum harga barangan dan bahan mentah mahal sekarang, namun harga yang dikenakan pemilik gerai itu tidak masuk akal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, isu sebilangan peniaga mengenakan caj makanan mahal di pulau tersebut telah lama berlaku terutama ketika musim kemasukan pelancong.
“Dari dulu sebilangan peniaga makanan di Langkawi ini akan menjual harga mahal jika tiba musim kemasukan pelancong dan ia kembali disoalkan setelah pembukaan gelombang pelancongan September lalu.
“Oleh itu, pihak kami meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah untuk selalu membuat pemeriksaan di premis dan gerai makanan yang mengambil kesempatan menaikkan harga makanan terlalu tinggi,” katanya.
Tambahnya, sejak dua minggu lalu, lebih 100 aduan pengguna diterima berkaitan kenaikan harga makanan dan bahan mentah di negeri ini.
“Kami nasihatkan peniaga makanan tidak mengenakan harga membebankan pengguna selain meletakkan tanda harga supaya pengguna dapat membuat pilihan sebelum membuat pesanan,” ujarnya. – K! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.