Ahad, 28 November 2021

Orang muda hilang minat terhadap kuih tradisional?

Danisyah Dalily

Minat generasi muda terhadap pencuci mulut atau snek tempatan dilihat semakin berkurangan dengan kemunculan pelbagai trend makanan dari Barat.

Setiap hari, Rozi yang berusia 57 tahun bangun pada pukul 3 pagi, menguatkan dirinya yang semakin tua untuk turun ke dapur bagi menyiapkan bahan-bahan untuk memasak nasi lemak dan pelbagai jenis kuih tradisional Melayu.

Rozi memulakan perniagaan kecilnya tiga tahun lalu di sebuah gerai tepi jalan bangunan pangsapuri tempat tinggalnya di Putra Perdana, Puchong.

Rozi juga merupakan salah seorang daripada “makcik” penjual kuih tradisional yang disediakan sendiri ketika ini.

Dia belajar membuat kuih tradisional jualannya daripada ibunya, namun kini wanita itu bimbang kitaran tradisi itu mungkin berakhir selepas generasinya.

Bercakap kepada MalaysiaNow, dia berkata kini tidak ramai golongan muda yang kelihatan berminat untuk membuat, malah menikmati kuih-muih tradisional sedemikian.

Namun, generasi yang lebih tua masih menempah kuih daripadanya terutama untuk majlis-majlis khusus atau kekeluargaan.

“Permintaan terhadap kuih Melayu berkualiti masih banyak, tetapi di bandar seperti Kuala Lumpur kita tidak dapat banyak permintaan daripada golongan muda kerana mereka lebih suka makanan bergoreng atau segera,” katanya.

Ahmad Azfar, 24 tahun yang tinggal di Kampung Kerayong Klang turut bersetuju, dia berkata lebih banyak gerai menjual kuih di kawasan perumahannya berbanding di kawasan bandar.

“Kebanyakan penjual adalah wanita pertengahan umur,” katanya.

“Saya tidak pernah melihat mana-mana penjual kuih dalam kalangan orang muda.”

Azfar sendiri menggemari kuih tradisional dan sering membantu ibunya membuat kuih di rumah.

“Setiap jenis kuih mempunyai rasa tersendiri dan menjadi simbol budaya melalui makanan,” katanya.

“Saya fikir orang muda harus mengekalkan pengetahuan mengenai kuih tradisi ini kerana ia adalah sebahagian daripada warisan budaya.”

Ketua Pegawai Eksekutif FriedChillies Media Mohd Adly Rizal,berkata golongan muda pada masa ini secara amnya lebih berminat dengan pencuci mulut Barat berbanding warisan mereka sendiri.

Punca utamanya adalah disebabkan trend pencuci mulut, yang semakin lama mengesampingkan makanan tradisional seperti kuih.

“Anak-anak muda masih berminat untuk mempelajari tentang kuih tetapi kurang minat kerana terdapat lebih banyak maklumat mengenai pencuci mulut Barat berbanding kuih,” katanya yang baru-baru ini melancarkan inisiatif dinamakan Projek Kuih Warisan Ihsan Haridepan.

Projeknya yang dibiayai oleh Yayasan Hasanah dan kementerian kewangan, mengumpulkan resipi lama dan petua masakan dari seluruh negara dan berkongsi dengan peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah hingga lepasan universiti dalam bidang kulinari.

Namun begitu, kebimbangan berhubung masa depan kuih tradisional masih ada.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Adly berkata ramai orang dilihat lebih gemar berbelanja untuk membeli kek berbanding kuih-muih.

“Sekeping kek keju berharga kira-kira RM12 tetapi kuih talam hanya berharga RM0.50 walaupun hakikatnya ia memerlukan lebih banyak kemahiran berbanding menghasilkan kek keju dan lebih banyak menggunakan bahan semula jadi,” katanya.

Dengan kenaikan harga bahan-bahan resepinya, beliau menganggarkan sekeping kuih yang berkualiti ketika ini berharga sekitar RM1.50 – “jika anda mahu semua bahan untuk membuatnya asli.”

“Pembuat kuih boleh membuat kuih yang sangat bagus, tetapi rakyat Malaysia mesti sanggup bayar untuk masa dan kualiti yang diperlukan untuk membuatnya.”

Kenaikan kos barangan adalah masalah Rozi sangat maklum.

Namun, dia cuba sedaya upaya untuk mengekalkan tahap harga semasa iaitu RM0.50 bagi sekeping kuih dan RM1 untuk sebungkus nasi lemak.

“Saya enggan menaikkan harga melainkan saya terima tempahan yang banyak untuk majlis khusus, kerana kami juga perlu masukkan harga pembungkusan,” katanya.

Biasanya, dia boleh mendapat kira-kira RM1,000 sebulan.

“Perniagaan semakin baik sejak kami belajar cara memasarkan kuih secara dalam talian,” tambahnya.

Walaupun proses membuat kuih memerlukan masa yang panjang dan membosankan, Rozi tidak berhasrat untuk berhenti daripada mengusahakan perniagaan kecilnya itu dalam masa terdekat.

Malahan, dia cuba mempelajari lebih banyak mengenainya cara membuatnya dan cuba meningkatkan kemahiran untuk memasarkan kuih dalam talian.

Walaupun perlu bersusah payah bangun awal setiap pagi bagi menyediakan juadah jualannya, dia berharap industri kuih di Malaysia akan terus hidup hingga ke generasi akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.