Selasa, 2 November 2021

Musim tengkujuh seluruh negara dijangka bermula Rabu ini

 Oleh AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI

Gambar hiasan

PETALING JAYA – Permulaan musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut bagi seluruh negara dijangka akan bermula Rabu ini sehingga Mac tahun depan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, sepanjang tempoh itu sebanyak empat hingga enam episod hujan lebat akan berlaku.

Menurut beliau, semasa fasa awal tempoh Monsun Timur Laut ini iaitu November hingga awal Januari depan, episod hujan lebat akan berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

“Manakala bermula awal Januari hingga Februari depan, episod hujan lebat akan lebih tertumpu di Sarawak dan Sabah.

“Mulai hujung Januari hingga Mac 2022 pula, dijangka cuaca agak kering di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Helmi berkata, kebanyakan tempat di negara ini dijangka menerima hujan pada paras purata sepanjang musim Monsun Timur Laut kali ini.

Jelas beliau, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari juga boleh mengakibatkan kejadian banjir di beberapa kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir.

“Sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih buruk.

“Selain itu, tiupan angin Timur Laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan ombak besar di perairan Laut China Selatan, manakala kawasan pantai negeri yang mengadap perairan ini juga dijangka mengalami risiko kenaikan paras laut,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan amaran hujan lebat serta angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline MET Malaysia 1300 22 1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” jelasnya.– K! ONLINE.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.