Rabu, 3 November 2021

MCA tak puas hati DBKL tetap laksanakan larangan jual arak

 Ainul Illia

Dakwa tindakan terkebelakang, rosakkan imej KL sebagai bandar kosmopolitan

KUALA LUMPUR – Parti berasaskan kaum MCA menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pengumuman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang meneruskan larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina berkuat kuasa, semalam (1 November).

Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Wilayah Persekutuan, Datuk Nicole Wong Siaw Ting berkata, larangan itu disifatkan sebagai satu tindakan terkebelakang di era moden ini.

“Keputusan DBKL telah menjejaskan matlamat ‘Keluarga Malaysia’ oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang berpaksikan kebersamaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nicole berkata, garis panduan baharu itu menambahkan kesan buruk kepada perniagaan dalam keadaan ekonomi yang semakin teruk, selepas berdepan cabaran yang disebabkan pandemik.

Selain itu, katanya, sesetengah perniagaan mungkin perlu mengecilkan perniagaan mereka atau menutup operasi sepenuhnya.  

“Ini akan mengakibatkan pengangguran dan kerugian kewangan, sekali gus menjejaskan usaha kerajaan untuk menggalakkan pemulihan ekonomi negara” katanya lagi.

Nicole mendakwa, kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai perubatan tradisional Cina di Kuala Lumpur pernah menjual minuman keras tanpa mendatangkan masalah kepada orang lain.

“Apa yang lebih mendukacitakan ialah DBKL telah mencipta garis panduan yang tiada alasan. 

“Bukan sahaja garis panduan DBKL yang disemak melarang penjualan arak di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai perubatan tradisional Cina, mereka juga telah memperkenalkan syarat yang lebih ketat untuk penjualan bir, contohnya, pada masa, lokasi dan kaedah.

“Sementara itu, kedai ubat Cina dibenarkan menjual produk perubatan berasaskan arak dengan syarat mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Tidak menyambut baik keputusan DBKL itu, Nicole berkata, perubahan dasar mestilah beralasan dan mengambil kira keperluan pihak berkepentingan, kesinambungan ekonomi dan kesejahteraan negara.

“Langkah DBKL adalah satu langkah ke belakang terhadap perusahaan bertamadun dan bebas apabila Kuala Lumpur dibuka semula.  

“DBKL seharusnya memacu ibu negara, bukannya merosakkan imejnya sebagai sebuah bandar berbilang budaya dan kosmopolitan.

“Pengerusi MCA dan wakil dari MPPWP tidak pernah bersetuju dengan dasar ini sebaliknya menyampaikan bantahan tegas kami dalam pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan,” katanya lagi.

Larangan penjualan arak (liquor) di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina oleh DBKL yang ditangguhkan selama sebulan, mula dikuat kuasakan semalam.

Bagaimanapun, penjualan bir oleh premis terbabit masih dibenarkan bermula jam 7 pagi hingga 9 malam sahaja, sebagaimana terkandung dalam syarat baharu untuk permohonan Lesen Minuman Keras (LMK).

Namun, premis terbabit perlu menyediakan ruang jualan atau pameran khas bagi bir yang berasingan daripada minuman lain, mengunci ruang jualan atau pameran selepas tamat waktu operasi penjualan bir, manakala had umur pembeli mesti 21 tahun ke atas.

DBKL dalam kenyataannya berkata, penguatkuasaan Garis Panduan Ke Atas Larangan Penjualan Minuman Keras sepatutnya dimulakan pada 1 Oktober lalu, namun ditangguhkan selama sebulan sehingga semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.