SHAH ALAM – Isu bekalan air menghangatkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini, apabila Ketua Pembangkang, Datuk Rizam Ismail (BN) mempersoalkan kegagalan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) menanganinya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar itu berkata, sudah tiga penggal Selangor ditadbir oleh PH, sehingga kini masalah bekalan air terputus dan isu pencemaran sungai berterusan berlaku.
Ia, katanya, membuktikan tiada usaha tegas dari kerajaan negeri untuk menyelesaikannya.
“Masalah air masih tidak berpenghujung. Selangor berterusan berhadapan dengan masalah gangguan bekalan air yang disifatkan sebagai endemik selagi PH memerintah negeri ini.
“Apabila masalah berkenaan membelenggu, walaupun sudah tiga penggal menjadi kerajaan, pelbagai alasan dikemukakan kononnya pencemaran air sungai dan sebagainya.
“Saya faham kerajaan negeri ada mengambil tindakan ke atas individu dan kilang yang melakukan pencemaran ini, tetapi apakah mekanisme yang dilakukan supaya masalah ini dapat diselesaikan,” katanya pada sesi perbahasan RUU Perbekalan 2022 bagi negeri Selangor di DUN, hari ini.
Perbahasan beliau itu dicelah oleh ADUN Banting, Lau Weng San (DAP) yang menyatakan, Pahang dan Johor di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) juga berlaku masalah bekalan air.
Alasan Weng San itu dibantah oleh ADUN Sungai Burong, Datuk Shamsuddin Lias (BN) yang mempersoalkan tindakan pembangkang tidak mahu menerima hakikat kegagalan kerajaan Selangor dengan mencari salah negeri lain.
Celahan Shamsuddin kemudian ditegur oleh Timbalan Speaker DUN, Hasnul Baharuddin yang memintanya memendekkan pertanyaan kerana untuk memberi laluan kepada Rizam berbahas.
ADUN Sungai Burong itu tidak mengendahkan teguran itu sebaliknya meneruskan pertanyaan mempertikaikan kegagalan kerajaan negeri sehingga ADUN Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim (DAP) bangun membaca buku peraturan.
Namun, Shamsuddin tetap dengan celahannya menyebabkan berlaku ‘perang’ mulut dengan Chang Khim.
Sebelum keadaan cuba ditenangkan oleh Hasnul, ADUN Batang Kali, Harumaini Omar meminta laluan untuk menyatakan mengenai masalah bekalan air turut berlaku di kawasannya dan bila perkara itu dapat diselesaikan.
Hasnul kemudian mengarahkan beberapa ADUN yang ‘berperang mulut’ itu duduk dan meminta Rizam meneruskan perbahasannya.
Ketika menyambung perbahasan itu, Rizam berkata, dalam pengurusan air di bawah PH, kerajaan negeri membelanjakan RM2 bilion untuk membeli syarikat air walaupun kos asal dianggarkan sekitar RM200 juta.
Katanya, kos RM200 juta itu dicadangkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim ketika memegang jawatan Menteri Besar Selangor.
“Sekepas itu, saban tahun saya lihat kerajaan negeri umum perbelanjaan air begitu tinggi, kononnya itulah kaedah untuk menyelesaikan masalah air dan dalam Bajet 2021 kerajaan negeri umum sebanyak RM779 juta agar masalah air tidak berulang,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.