Isnin, 1 November 2021

Gaji minimum rakyat Malaysia cecah RM2,000 sebulan

 Oleh ZULKIFLI MANZOR

DEEYA (kiri) dan suaminya, Khirun Anuar Mali (kanan) memantau tugasan pekerja. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Gaji minimum rakyat Malaysia kini antara RM1,700 hingga RM2,000 sebulan hasil daripada Program Insentif Malaysianization yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, program berkenaan dilaksanakan melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pas Pendang berkata, pekerja yang menerima gaji RM1,200 akan mendapat manfaat insentif tambahan sebanyak RM500 atau 20 peratus daripada gaji bulanan ditawarkan.

“Gaji minimum ditetapkan di kawasan bandar RM1,200 ditambah RM500 jadi (gaji minimum) paling kurang RM1,700. Bagi luar bandar di kawasan majlis perbandaran gaji minimum RM1,100 ditambah RM500.

“Dengan itu rakyat tempatan dapat gaji minimum paling kurang antara RM1,700 ke RM2,000 termasuk dengan elaun-elaun,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) mengenai tindakan kerajaan untuk menetapkan gaji minimum yang lebih relevan bagi mengelak rakyat Malaysia berkerja di luar negara. – K! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.