Sabtu, 27 November 2021

Bubarkan MN segera – Veteran Umno

MALAYSIA POST

Bubarkan MN segera – Veteran Umno

MAJLIS Tertinggi (MT) Umno disaran supaya membuat keputusan segera membubarkan Muafakat Nasional (MN), sekaligus memansuhkan Piagam MN yang dimeterai dengan PAS.

Cadangan itu dibuat oleh Setiausaha Agung Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub bagi mengelak berlakunya polimik yang berpanjangan di antara Umno dan PAS.

“Masing-masing telah membuat keputusan muktamad. Umno tidak akan bersama Perikatan Nasional (PN) dan PAS telah memilih PN serta menolak MN.

“Sekiranya status MN dibiarkan tergantung maka akan berlaku tuduh menuduh dan salah menyalah diantara kedua parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berpendapat lebih baik dibuat keputusan muktamad dengan membubarkannya.

“Habis cerita dan tutup buku. Lagipun MN bukan ada ikatan berdaftar. Ianya hanya satu gagasan yang telah gagal dan tidak diperlukan lagi.

“Umno tidak perlu bersusah-susah untuk menjaga hati PAS dan sebaliknya PAS juga tidak perlu untuk memikirkan hal Umno,” katanya.

Menurutnya, biarlah kedua-dua parti meneruskan perjuangan berdasarkan tujuan dan matlamat masing-masing dengan Umno menghormati keputusan PAS untuk bersama PN dan PAS juga mesti menghormati Umno yang tidak mahu bersama PN.

“Pembubaran MN bukan atas dasar marah atau kecewa, tetapi bagi mengelakkan kekeliruan dan salah tafsir di kalangan ahli yang masih menganggap MN masih wujud sedang hakikatnya MN telah terkubur,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.