Ahad, 28 November 2021

54 individu langgar SOP PPN dikompaun RM290,000

JOHOR BAHRU: Polis mengeluarkan kompaun bernilai RM290,000 terhadap 54 individu dalam operasi di sebuah pusat hiburan sekitar Taman Sutera Utama, Skudai, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid, berkata operasi dijalankan Bahagian Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBU kira-kira jam 2.30 pagi.

Katanya, ketika polis memasuki premis, didapati muzik dipasang dengan kuat yang mana seramai 53 pelanggan termasuk 23 wanita leka berhibur.

"Premis beroperasi tanpa lesen, selain pengurus juga gagal mengemukakan lesen hiburan dan pelanggan didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Tindakan kompaun dikenakan terhadap kesemua individu berusia antara 17 hingga 45 tahun, selain polis turut merampas peralatan muzik elektronik yang digunakan untuk hiburan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Johor, jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengurus premis dikenakan kompaun RM25,000, manakala 53 pelanggan dikompaun RM5,000 setiap seorang mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.