Selasa, 30 November 2021

50 lokaliti dikenal pasti atasi miskin tegar

Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang melaksanakan pemutihan data kemiskinan menerusi eKasih bagi mengenal pasti kumpulan miskin tegar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata ICU juga bercadang mengenal pasti kira-kira 50 lokaliti di seluruh negara pada pertengahan Disember ini, seterusnya diverifikasi dengan kerjasama kerajaan negeri, hujung bulan ini.

"Pada Januari 2022, program dan strategi akan dirangka berdasarkan keperluan mengikut kesesuaian lokaliti masing-masing, sementara pada Februari, pembentangan strategi dan program pembasmian kemiskinan tegar fasa pertama kepada Jemaah Menteri.

"Pada Mac depan, pelaksanaan program bagi fasa pertama 50 lokaliti di seluruh negara akan bermula," katanya menjawab soalan Chang Lih Kang (PH-Tanjong Malim) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan pendekatan baharu ini akan dipantau setiap tiga bulan bagi memastikan intervensi yang berkesan sekiranya pencapaiannya kurang memuaskan.

"Selain 50 lokaliti terpilih ini, program sedia ada bagi kelompok dan keluarga miskin lain di seluruh negara akan diteruskan. Dengan pendekatan secara keseluruhan negara dan holistik, kerajaan beriltizam miskin tegar dihapuskan pada 2025 seperti disasarkan dalam RMK-12," katanya

Dalam pada itu, katanya, bagi menjamin pelaksanaan lebih berfokus juga, unit kemiskinan yang khusus dicadangkan ditubuhkan di peringkat persekutuan, negeri dan daerah.

"Unit Kemiskinan sudah pun ditubuhkan di Unit Perancang Ekonomi (EPU) JPM pada 8 November lalu. Beberapa negeri sudah mengambil inisiatif menubuhkan Unit Kemiskinan di peringkat negeri dan daerah," katanya.

Beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), strategi menyeluruh meliputi projek dan program ekonomi, keusahawanan, pendidikan dan kesihatan akan dilaksanakan bagi menghapuskan kemiskinan tegar pada 2025.

"Pembasmian kemiskinan tegar akan dilaksanakan tanpa mengira jantina, etnik, status sosioekonomi dan lokasi, sama ada bandar atau luar bandar.

"Kemiskinan tegar adalah isi rumah yang berpendapatan RM1,169 sebulan dan ke bawah, berdasarkan kepada kos pembelian makanan asas, bagi isi rumah dengan empat ahli keluarga," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.