SEBANYAK RM5 juta diperuntukkan sebagai dana permulaan kepada Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia menunjukkan keprihatinan, kepekaan dan komitmen berterusan kerajaan terhadap mahasiswa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dana yang disalurkan menerusi Kementerian Kewangan itu adalah tanda sokongan kerajaan dalam memastikan kelangsungan operasi dan matlamat penubuhan Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia tercapai.
Menurut Perdana Menteri, yayasan berstatus badan rasmi peringkat nasional itu ditubuhkan di bawah Akta 268 dengan dikawal selia Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.
Ismail Sabri memaklumkan, badan itu akan bekerjasama dengan kesemua saluran bantuan dan yayasan sedia ada di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada mahasiswa yang memerlukan.
“Saya ingin mengingatkan kepada agensi dan pihak terlibat, permudahkan dan percepatkanlah sebarang permohonan lengkap yang diterima daripada mahasiswa supaya bantuan dapat disalurkan dengna segera kepada mereka.
“Melalui penubuhan yayasan ini, diharapkan pengurusan dan penyelarasan hal ehwal kebajikan mahasiswa lebih bersepadu.
“Yayasan ini wajar menjadi asbab bagi semua pihak untuk memberikan yang terbaik, ke arah menterjemahkan aspirasi konsep Keluarga Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena majlis pelancaran Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia secara maya, hari ini.
Turut hadir secara maya, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, penubuhan yayasan itu secara langsung menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mahasiswa seperti yang terkandung dalam konsep Keluarga Malaysia iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.
Sebagaimana dalam sebuah keluarga, kata beliau, setiap ahli yang susah perlu dibantu bersama-sama dan nilai-nilai murni ini juga perlu diamalkan setiap mahasiswa.
Beliau memaklumkan, setiap mahasiswa perlu melihat rakan-rakan sebagai sebuah keluarga besar yang saling memerlukan.
“Sehubungan itu dengan tertubuhnya yayasan ini, tergalaslah amanah di bahu majlis perwakilan pelajar (MPP) khususnya dan di setiap mahasiswa amnya bagi memastikan tiada sebarang rakan yang memerlukan tercicir daripada dibantu.
“Demi melaksanakan usaha murni ini, saya menyeru kesemua mahasiswa
supaya menggenggam erat prinsip kebersamaan tanpa mengira agama, bangsa
dan kaum,” jelas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.