Jumaat, 29 Oktober 2021

Pelancong di Manjung dijangka meningkat dua kali ganda

Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
KEDATANGAN pelancong ke Pulau Pangkor dijangka meningkat pada cuti umum minggu depan. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI

LUMUT: Polis menjangka kehadiran pelancong ke daerah Manjung meningkat dua kali ganda daripada biasa pada hujung minggu depan berikutan dua hari cuti umum berturut-turut di Perak pada Khamis dan Jumaat depan.

Sehubungan itu, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung akan menggerakkan pasukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sempena cuti tersebut bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan, selain melaksanakan Op Ambang Deepavali.

NOR OMAR SAPPI

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pada 4 November cuti Deepavali disusuli cuti hari keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, keesokannya, sebelum diikuti cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad.

“Jadi, kami menjangka ramai pelancong datang ke daerah Manjung terutama ke Pulau Pangkor, pantai peranginan Teluk Batik dan Teluk Senangin,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Menurut Nor Omar, kebiasaannya pada hujung minggu biasa sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, kira-kira 20,000 orang melancong ke daerah itu pada hujung minggu.

Justeru, pihaknya percaya bilangan pelancong mampu meningkat sehingga  dua kali ganda apabila ada cuti empat hari berturut-turut minggu depan, berbanding minggu lalu dan minggu ini.

Menurut beliau, pihak polis mahu memastikan kehadiran ramai pelancong ke daerah ini tidak mencetuskan penularan jangkitan Covid-19 khususnya jika ada pihak yang terleka hingga mengabaikan SOP seperti hadir tanpa lengkap vaksinasi, berkumpul tanpa penjarakan sosial dan tidak memakai pelitup muka.

Pada masa sama, jelasnya, pasukan itu juga menugaskan anggota untuk berada di lokasi strategik terutama di Pulau Pangkor bagi mengekang sebarang kegiatan jenayah atau insiden di luar jangkaan.

Sementara itu, Operator Feri Jeti Lumut, Rositah Abdul Razak berkata, pihaknya berhasrat  memohon kepada Jabatan Laut Malaysia untuk menambah lagi perkhidmatan perjalanan feri dari Lumut ke Pulau Pangkor sebagai persediaan menghadapi kedatangan pelancong pada cuti umum minggu depan.

“Berikutan cuti umum yang bersambung dengan hujung minggu bermula Khamis depan, kami menjangka kemasukan pelancong dalam skala yang besar ke pulau, minggu depan.

“Jika hujung minggu sebelum ini seramai 3,000 pengunjung menggunakan feri sehari direkodkan, jadi untuk cuti minggu hadapan dijangka peningkatan dua kali ganda bagi kedua-dua Jeti Lumut dan Jeti Pulau Marina,” katanya.

Menurutnya, ketika ini sebanyak sembilan kali perjalanan feri sehari dibenarkan ke pulau tersebut. – UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.