Khamis, 28 Oktober 2021

Muka baharu, muda calon BN PRN Melaka

 Oleh Ilah Hafiz Aziz

  Ahmad Zahid (dua dari kiri) bersama Mohamad (kiri), Najib (dua kanan) dan Ab Rauf  melancarkan jentera BN PRN Melaka, malam ini. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN Ahmad Zahid (dua dari kiri) bersama Mohamad (kiri), Najib (dua kanan) dan Ab Rauf melancarkan jentera BN PRN Melaka, malam ini. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan calon baharu dan muda bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, beliau berkata, BN juga tidak mengetepikan calon lama jika mereka berkebolehan dan diterima masyarakat setempat.

"Seramai 497,000 pengundi Melaka mahukan sesuatu yang baharu, jadi menerusi perbincangan dengan pengarah pilihan raya negeri dan bersama Perdana Menteri selepas ini, saya yakin mereka juga akan memilih calon muka baharu.

"Tetapi ini tidak bererti yang lama tidak baik, walaupun saya tidak dapat membaca hati mereka, namun saya harap mereka memberi ruang kepada anak muda ini," katanya berucap pada pelancaran jentera PRN Melaka, di sini, malam ini.

Turut hadir, Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Tan Sri Joseph Kurup, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ahmad Zahid berkata, calon yang akan dipilih BN juga harus mempunyai sifat 'WALI' iaitu winnable (boleh menang), acceptable (diterima) dan likeable (disenangi) semua kaum dan masyarakat.

Katanya, beliau juga akan memastikan calon dipilih bukan calon 'kegemaran' parti atau pemimpin negeri.

"Tidak ada calon 'favouritism', tiada calon Datuk Rauf, Datuk Seri Sulaiman Mohd Ali, Mad Hassan, Zahid Hamidi atau Ismail Sabri, sebaliknya mereka adalah calon yang boleh menang.

"Kita mahu kemenangan yang lebih baik dan pembaharuan kepada pengundi. Jika yang lama (pemimpin) ada sifat 'wali,' jangan khuatir ada tempat untuk anda. Tidak ada yang baharu tanpa yang lama," katanya.

Ahmad Zahid turut mengulangi tiada kerjasama dengan BERSATU pada PRN Melaka dengan mengambil kira suara akar umbi parti.

"Kita tidak akan bekerjasama dengan BERSATU pada PRN Melaka. Ini tidak akan berlaku. Ini bukan keputusan Presiden UMNO, tetapi suara akar umbi," katanya.

Ahmad Zahid berkata, meskipun tidak menjalin kerjasama dengan BERSATU, namun kempen pilihan raya ini dijalankan berlainan iaitu tidak mengutuk parti berkenaan.

"Kempen kali ini bukan kempen biasa kerana kita tidak perlu mengutuk seteru kita, sebaliknya menceritakan apa kebaikan yang kita ada, apa kelebihan yang boleh berikan kepada rakyat.

"BERSATU bukan musuh kita, tetapi hanya seteru politik saja," katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid turut meminta semua pihak mengetepikan perbezaan pandangan, sebaliknya memberi fokus terhadap kemenangan BN di Melaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.