KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan sebuah bot nelayan Vietnam dengan muatan minyak diesel yang menceroboh perairan negara, kelmarin.
Timbalan Pengarah Operasinya, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot bersama tiga kru termasuk tekong yang berusia antara 35 hingga 54 tahun itu ditahan pada di kedudukan 81.3 batu nautika dari Kuala Terengganu, pada pukul 6.20 petang.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan diubah suai untuk membawa bekalan bahan bakar kepada bot-bot nelayan asing Vietnam yang menceroboh perairan negara.
“Bot yang boleh membawa sehingga 60,000 liter minyak diesel ini dipercayai sudah berada di perairan negara sejak lebih sebulan lalu.
“Dengan penahanannya kita berjaya melumpuhkan aktiviti nelayan Vietnam yang mencuri hasil laut di perairan negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Ariffin, pihaknya turut merampas 1,500 liter minyak diesel dan peralatan lain yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1.5 juta.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 di samping Akta Imigresen 1959/1963 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.