Malaysiapost
KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mengkaji kesesuaian untuk menukar permulaan sesi persekolahan daripada Januari kepada Mac, dengan menjadikan sesi tahun depan sebagai panduan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata kajian itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai kelebihan dan maklum balas positif diterima daripada pemegang taruh, termasuk dapat mengelakkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diadakan pada November dan Disember yang bertembung dengan musim tengkujuh.
“Permulaan sesi persekolahan pada Mac ada banyak kelebihan, jadi ia satu tindakan yang baik apabila kita lanjutkan sesi persekolahan (2021) sehingga awal tahun depan.
“Kini, kita sedang teliti apakah kita akan teruskan sesi persekolahan baharu pada Mac atau kembali seperti asal (bermula Januari untuk sesi persekolahan 2023 dan seterusnya),” katanya memetik laporan BH.
Mengulas lanjut kelebihan memulakan sesi persekolahan pada Mac, beliau berkata, bagi negeri di Pantai Timur yang terbabit dengan monsun, SPM dalam musim tengkujuh amat memenatkan dan mengundang tekanan bukan sahaja bagi guru, malah ibu bapa juga terkesan apabila peperiksaan terpaksa dilaksanakan ketika banjir.
“Apabila SPM 2020 kita laksanakan pada Februari lalu, maklum balas yang diterima jauh lebih baik kerana fokus mereka (calon) dapat ditumpukan sepenuhnya kepada peperiksaan.
“Mereka tak perlu fikir soal nak ambil bot (untuk ke sekolah sebab banjir) atau nak pindah ke pusat (peperiksaan) mana dan sebagainya. Justeru, kita sedang teliti permulaan sesi persekolahan pada Mac untuk diteruskan ke tahun-tahun berikutnya kerana ada banyak kelebihan,” katanya.
Selain itu, Radzi berkata, apabila SPM diadakan pada Februari atau Mac, tempoh menunggu untuk calon terbabit ke universiti juga akan lebih pendek berbanding sebelum ini.
“(Jika peperiksaan SPM Februari/Mac) Keputusan (SPM) akan keluar (umum) Mei atau Jun dan selepas itu terus masuk ke universiti. Maksudnya, tak perlu tunggu lama (untuk masuk universiti).
“Kalau dulu (peperiksaan SPM November/Disember), mereka (pelajar) terpaksa menunggu tujuh hingga lapan bulan sebelum masuk universiti dan ini sedikit menyulitkan,” katanya.
Baru-baru ini, KPM mengumumkan sesi persekolahan untuk 2021 dilanjutkan sehingga Februari tahun depan, manakala sesi persekolahan bagi 2022 akan bermula Mac. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.