Ahad, 31 Oktober 2021

Kedah tak pernah ditadbir Siam, kata pakar sejarah

Pulau Pinang pernah menjadi wilayah Kedah dan ia adalah satu fakta yang 
diakui oleh penjajah British sendiri, menurut Ahmad Murad Merican.

GEORGE TOWN: Dakwaan yang mengatakan Kedah pernah dikuasai Thailand, yang ketika itu dikenali sebagai Siam dan sebab itu ia tidak mempunyai tuntutan sah ke atas Pulau Pinang, adalah tidak benar, kata seorang profesor tamadun Melayu.

Ahmad Murad Merican dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, Pulau Pinang pernah menjadi wilayah Kedah dan ia adalah satu fakta yang diakui oleh penjajah British sendiri.

“Jika Kerajaan Siam mempunyai kedaulatan dan kuasa ke atas Kedah, mengapa Francis Light dan Syarikat Hindia Timur Inggeris bertemu sultan untuk menduduki Pulau Pinang?

“Kenapa Light tidak bertemu dengan raja Siam? Hakikatnya ialah Kedah adalah negeri berdaulat yang diiktiraf, walaupun oleh British sendiri,” katanya kepada FMT.

Murad yang mengetuai Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Majlis Persatuan Warisan Pulau Pinang (PHT), Clement Liang yang berkata, Kedah adalah negeri di bawah Kerajaan Siam, dan Siam menyerahkan Pulau Pinang dan Province Wellesley kepada British dalam perjanjian pada tahun 1826.

Sambil memetik buku teks sejarah Thai dan muzium negara di Bangkok, Liang berkata Pulau Pinang atau Koh Mak adalah wilayah Siam pertama yang terlepas kepada kuasa Barat.

Katanya, Perjanjian Burney 1826 menyaksikan Kedah dan tiga negeri lain diiktiraf sebagai wilayah Siam, manakala Pulau Pinang dan Province Wellesley berada di bawah British.

Murad berkata tindakan Liang itu salah apabila beliau merujuk cerita sejarah Thailand sambil menjelaskan Siam dan British telah menandatangani perjanjian tanpa melibatkan raja Melayu di Kedah.

“Kenapa kita bergantung kepada perspektif dari negara lain mengenai sejarah kita?

“Ia adalah bersifat khianat dan menghasut apabila PHT membuat dakwaan seperti itu berdasarkan sejarah diceritakan oleh negara lain.”

Murad berkata, Kedah memiliki sejarah kesultanan tertua di dunia dan pada zaman kegemilangannya, ia memerintah dari Phuket ke Beruas di Perak dengan sebuah keluarga tunggal yang menduduki takhta hingga ke hari ini.

“Siam mungkin mempunyai sedikit kuasa ke atas Kedah pada satu ketika tetapi dakwaan mengatakan ia mempunyai kedaulatan ke atas Kedah adalah salah.

“Siam bukanlah jiran yang baik. Mereka telah merampas tanah daripada Melayu menerusi naratif dan perjanjian mereka. Mereka sentiasa menjadi musuh kepada orang Melayu,” katanya.

Sambil menyifatkan Siam sebagai “perompak tanah”, beliau berkata jika diberi peluang, mereka mungkin merampas seluruh Semenanjung Tanah Melayu.

Murad berkata, sebenarnya Pulau Pinang diduduki secara haram, dirompak dan dirosakkan oleh British, kerana ia adalah penempatan orang Melayu di bawah kesultanan Kedah.

Katanya, sehingga kini, tidak ada bukti kononnya berlaku perjanjian pajakan antara Francis Light dan sultan kedah ketika itu, Sultan Abdullah ketika pertama kali tiba di pulau itu pada 1786.

“Perjanjian itu kekal sebagai mitos.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.