Jumaat, 1 Oktober 2021

'Hanya makan sesudu nasi, tidur jam 2 pagi sebelum vaksin'

Tangkap layar dari video yang tular
Tangkap layar dari video yang tular

MELAKA: Murid sekolah rendah yang didakwa secara tiba-tiba lemah selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 disahkan tidur lewat iaitu pada jam 2 pagi dan hanya makan sesudu nasi lemak sebelum divaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Encore, Klebang, di sini, pagi tadi.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Rusdi Abd Rahmad, berkata siasatan selepas kejadian mendapati murid lelaki berusia 12 tahun itu juga tidak berselera makan dan hadir secara 'walk in' bersama keluarganya ke PPV terbabit.

Katanya, ketika proses vaksinasi murid itu agak gementar tetapi tiada sebarang kesan sampingan yang dilihat sejurus selepas vaksinasi atau sepanjang tempoh pemerhatian.

"Murid ini juga tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan, malah tidak pernah dimasukkan ke hospital atau mempunyai sejarah alahan sebelum ini.

"Selepas dibawa masuk semula ke PPV dan pegawai perubatan melakukan pemeriksaan mendapati, keadaan murid ini stabil dengan tekanan darah, nadi dan paras oksigen dalam darahnya adalah normal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini tular satu rakaman video menunjukkan seorang murid sekolah longlai selepas menerima suntikan vaksin COVID-19.

Dr Rusdi berkata, selepas pemerhatian tempoh 30 minit oleh petugas perubatan, murid berkenaan menunjukkan keadaan stabil, sebelum dia dibenarkan pulang.

"Malah, panggilan telefon susulan kepada keluarga juga dibuat dan mendapati murid itu sihat. Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan memantau tahap kesihatan murid berkenaan dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa dan penjaga yang akan membawa anak untuk vaksinasi dinasihatkan supaya memastikan anak mereka mendapat rehat yang secukupnya dan makan sebelum hadir ke PPV.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menyebarkan maklumat atau berita tidak sahih," katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.