Sabtu, 30 Oktober 2021

Graduan jurutera jadi usahawan jahitan

 Oleh AIMUNI TUAN LAH

MOHD. Azuan Abdul Rashid memanfaatkan kemahiran menjahit untuk menjadi seorang usahawan jahitan ternama di Gua Musang. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG: Peluang pekerjaan yang terhad membuatkan seorang graduan Diploma Kejuruteraan Mekatronik mengikut kata hati untuk mengembangkan kemahiran menjahit sebagai kerjaya tetap, 10 tahun lalu.

Anak peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Mohd. Azuan Abdul Rashid, 35, tidak menyesal membuat pilihan tersebut apabila berjaya memiliki perniagaan sendiri di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh, di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Azuan berkata dia minat menjahit sejak di bangku sekolah dan pernah mengikuti kursus jahitan di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran sebelum berjaya memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2.

“Selepas menamatkan pengajian dalam Diploma Kejuruteraan Mekatronik di Politeknik Kok Lanas, Kota Bharu pada 2007, saya telah melakukan lebih 10 pekerjaan seperti kerja kilang dan pelayan hotel bagi menampung kehidupan di Kuala Lumpur.

“Selepas kematian bapa kira-kira 10 tahun lalu, saya nekad pulang ke Gua Musang dan memberanikan diri menjahit pakaian yang ditempah pelanggan secara kecil-kecilan di rumah di RKT Kesedar Jeram Tekoh,” katanya di sini baru-baru ini.

Kerjaya Mohd. Azuan sebagai tukang jahit seterusnya bertukar menjadi usahawan jahitan apabila dia berjaya membuka sebuah premis perniagaan sendiri di daerah ini dengan bantuan pihak Kesedar.

Mohd. Azuan dalam pada itu mengakui perniagaannya terjejas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila tempahan pelanggan mula berkurangan sejak tahun lalu.

Namun dia tidak mudah mengalah, sebaliknya bangkit mencari pendapatan tambahan dengan cara menjadi guru kelas jahitan secara dalam talian.

“Saya menjadi tenaga pengajar secara alam maya di media sosial, tak sangka sambutan yang diterima amat menggalakkan. Rama rupanya yang minat dan mahu belajar menjahit namun tidak ada kesempatan berbuat demikian,” katanya.

Tambah usahawan jahitan itu, dia berharap golongan belia, khususnya lepasan universiti tidak menjadikan alasan Covid-19 atau kesukaran mencari kerja untuk goyang kaki, sebaliknya berusaha sendiri mencari rezeki tanpa menyusahkan keluarga. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.