Jumaat, 29 Oktober 2021

Golongan OKU raih banyak manfaat

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi menaik taraf infrastruktur bangunan kerajaan supaya mesra orang kurang upaya (OKU), sekali gus memastikan golongan itu tidak pernah dipinggirkan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata peruntukan itu antaranya bagi menyediakan lebih banyak laluan khas bagi kegunaan golongan cacat penglihatan.

"Selain itu, sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk Pusat Latihan Berdikari dan sebuah Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Kerajaan bagi melaksanakan program latihan serta bimbingan ajar kepada golongan OKU.

"Dalam memastikan anak muda OKU mempunyai tempat untuk menceburi bidang pekerjaan, kerajaan akan menyediakan kuota khas satu peratus untuk program MyStep kepada golongan OKU," katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, pada tahun depan, kerajaan bersetuju menanggung sepenuhnya bayaran Lesen Kenderaan Motor kepada semua kenderaan persendirian dimiliki OKU yang diharapkan dapat meringankan kos sara hidup golongan berkenaan.

Beliau turut menghargai peranan digalas jurubahasa isyarat sambil menyebut nama Tan Lee Bee, Khairunnisa Kho Abdullah, Wan Zuraidah Abu dan Goh Soo Leng.

Katanya, mereka sebenarnya berjasa sebagai jurubahasa isyarat yang sering dilihat di sudut kaca televisyen.

"Bagi meningkatkan akses terhadap media, selain membolehkan golongan OKU cakna dengan berita semasa dan informasi terkini, dengan bantuan BERNAMA, semua rangkaian TV termasuk saluran swasta akan menyediakan jurubahasa isyarat dalam penyampaian berita mereka," katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan turut bercadang memperluaskan Program Pemulihan Dalam Komuniti yang menjadi antara medium intervensi awal untuk anak-anak OKU meningkatkan kemahiran diri dan menceburi pekerjaan.

"Setakat ini, Universiti Sains Malaysia (USM) adalah universiti pertama melaksanakan program ini. Tahun depan, kerajaan bercadang meluas pelaksanaannya ke universiti awam lain," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.