Sabtu, 30 Oktober 2021

Cabaran gelombang ketiga COVID-19

BH ONLINE

Gelombang ketiga penularan COVID-19 memberi cabaran besar kepada kemampuan fiskal kerajaan, terutama dalam mengimbangi impak kepada generasi masa depan.

Susulan peningkatan mendadak kes COVID-19, proklamasi darurat diisytiharkan berkuat kuasa 11 Januari hingga 1 Ogos lalu bagi meningkatkan penguatkuasaan, menambah baik langkah pencegahan dan memperketat kawalan sempadan.

Kerajaan juga terus menyediakan sokongan fiskal yang besar tahun ini melalui pakej bantuan dan rangsangan ekonomi tambahan bagi mengurangkan impak buruk pandemik dan langkah kawalan.

Empat pakej bernilai RM225 bilion diperkenalkan tahun ini iaitu Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) dan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Secara keseluruhan, kerajaan mengumumkan lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM530 bilion dengan sokongan fiskal RM80 bilion disediakan di bawah Kumpulan Wang COVID-19 (KWC-19) sejak penularan pandemik tahun lalu.

Kerajaan melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada 24 Februari lalu memandangkan vaksinasi adalah faktor utama menangani pandemik, dengan sasaran 80 peratus penduduk dewasa menerima vaksin sepenuhnya pada akhir Oktober.

Kerajaan turut melancarkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Jun lalu, yang menetapkan hala tuju untuk keluar daripada pandemik dan mempercepat pemulihan ekonomi.

Pendirian fiskal kerajaan memberi keutamaan memacu negara keluar daripada krisis pandemik, dengan sokongan fiskal ketara dijangka mampu mengawal penularan COVID-19, menyokong aktiviti ekonomi domestik, menjana pelaburan, merangsang perbelanjaan pengguna dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Pelaksanaan langkah pemulihan lebih bersasar memberi kesan positif kepada ekonomi dan dibuktikan melalui pertumbuhan ekonomi yang kukuh sebanyak 7.1 peratus pada separuh pertama tahun ini.

Kerajaan memanfaatkan pelbagai instrumen fiskal, antaranya penggunaan sebahagian dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi memastikan pembiayaan mencukupi dan mempercepat pelaksanaan PICK, hingga kadar vaksinasi Malaysia merekodkan antara terpantas di dunia dan membolehkan kerajaan membuka semula lebih banyak sektor ekonomi.

Pada akhir Ogos, kerajaan menempah lebih 87 juta dos vaksin bernilai sekitar RM4.3 bilion bagi memastikan kelancaran PICK, hingga Malaysia mencapai sasaran 80 peratus penduduk dewasa menerima vaksin lengkap pada September lalu.

Agenda sosioekonomi dan pembangunan kekal menjadi keutamaan kerajaan dalam jangka masa sederhana seperti dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 2021-2025 (RMK-12).

Sasaran defisit fiskal disemak semula

Kerajaan menerusi Belanjawan 2021 mengunjurkan defisit fiskal berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkurang kepada 5.4 peratus berdasarkan andaian pemulihan ekonomi yang stabil separuh kedua tahun lalu dan berlanjutan hingga tahun ini.

Bagaimanapun, kemunculan varian baharu COVID-19 memaksa kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengumumkan pakej bantuan serta rangsangan ekonomi tambahan untuk meringankan beban rakyat dan perniagaan.

Pelaksanaan PKP dan pakej bantuan itu menjejaskan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan, dengan hasil tahun ini dianggar susut 6.7 peratus daripada anggaran belanjawan kepada RM221 bilion, atau 14.6 peratus kepada KDNK akibat kutipan hasil cukai lebih rendah.

Bagaimanapun, pengurangan itu ditampung oleh hasil tambahan berikutan purata harga minyak mentah dan minyak sawit yang lebih tinggi serta dividen tambahan dan bayaran khas daripada entiti kerajaan.

Perbelanjaan kerajaan disemak semula untuk membiayai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi tambahan, seterusnya meningkatkan keperluan perbelanjaan di bawah Kumpulan Wang Simpanan COVID-19 (KWC-19).

Jumlah perbelanjaan dijangka kekal signifikan sebanyak RM320.6 bilion, walaupun lebih rendah secara marginal sebanyak 0.6 peratus berbanding anggaran belanjawan pada RM322.5 bilion. Perbelanjaan mengurus (OE) dijangka berkurang 7.1 peratus atau RM16.9 bilion kepada RM219.6 bilion, terutama daripada bekalan dan perkhidmatan serta pemberian kepada badan berkanun yang mempunyai rizab kewangan tinggi.

Perbelanjaan pembangunan (DE) pula dijangka berkurang 10.1 peratus kepada RM62 bilion berbanding anggaran belanjawan RM69 bilion serta beberapa projek pembangunan disemak dan dijadual semula berikutan pelaksanaan PKP yang menjejaskan kemajuan projek.

Bagaimanapun, peruntukan KWC-19 dianggar meningkat sebanyak 129.4 peratus atau RM22 bilion kepada RM39 bilion bagi membiayai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi tambahan.

Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan berbanding KDNK diunjur naik kepada 6.5 peratus berikutan suntikan fiskal tambahan dan unjuran KDNK lebih rendah, sekali gus baki primer tidak termasuk bayaran khidmat hutang berbanding KDNK juga dijangka meningkat kepada 3.9 peratus.

MTFF panduan belanjawan jangka sederhana

Dalam jangka masa sederhana, strategi fiskal akan berteraskan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF), yang berfungsi sebagai panduan perancangan belanjawan dengan menetapkan unjuran makro fiskal tiga tahun.

MTFF berperanan penting dalam pengurusan kewangan awam dan operasi bagi menambah baik disiplin fiskal, memastikan keberkesanan dan kecekapan perbelanjaan serta melaksanakan pembaharuan institusi.

Penyediaan suntikan fiskal tambahan dan peningkatan had statutori hutang berikutan COVID-19 berpanjangan, membawa kepada MTFF 2022-2024 disemak semula dengan konsolidasi fiskal secara beransur-ansur.

Semakan itu berdasarkan andaian pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal pada purata 7.7 peratus, purata harga minyak mentah pada AS$67 satu tong serta purata pengeluaran minyak mentah 580,000 tong sehari.

Jumlah hasil jangka masa sederhana dianggar RM736 bilion atau 13.9 peratus kepada KDNK, terutama disumbangkan hasil bukan petroleum yang dianggar RM600.7 bilion atau 11.3 peratus kepada KDNK, manakala hasil berkaitan petroleum diunjur pada RM135.3 bilion atau 2.6 peratus kepada KDNK.

Jumlah siling perbelanjaan indikatif tempoh 2022-2024, termasuk Kumpulan Wang COVID-19 (KWC-19) diunjur RM999.9 bilion atau 18.9 peratus kepada KDNK.

Peruntukan perbelanjaan mengurus dianggar pada RM726.9 bilion atau 13.7 peratus kepada KDNK, manakala perbelanjaan pembangunan (DE) RM250 bilion atau 4.7 peratus.

Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan menyediakan rangka kerja dasar yang holistik bagi pembaharuan struktur, selain menetapkan hala tuju jangka masa sederhana bagi pelaburan dalam pembangunan infrastruktur awam dan modal insan, serta merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan kumpulan pendapatan.

Kerajaan menerbitkan kenyataan prabajet julung kali dan siri kertas konsolidasi awam berkaitan perundangan fiskal, pembaharuan cukai, sistem bantuan sosial dan perolehan kerajaan sebagai antara inisiatif meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti fiskal, serta menggalakkan pembabitan awam.

Inisiatif itu mengukuhkan komitmen kerajaan meningkatkan tadbir urus belanjawan dan pengurusan kewangan awam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.