PETALING JAYA: Bajet 2022 yang dibentang Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak mencerminkan langkah ke arah transformasi dan kestabilan yang dikehendaki memorandum persefahaman antara Pakatan Harapan dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kata Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.
P Ramasamy berkata MoU itu dilihat hanya menguntungkan pihak pemerintah berbanding pembangkang.
“Ia gagal menghormati dan membalas sokongan yang diberikan pembangkang. Ia tidak mengurangkan kesan buruk ekstremisme kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan.
Beliau yang juga seorang pemimpin DAP berkata belanjawan itu sepatutnya mencerminkan semangat dan intipati MoU berkenaan, lagi-lagi dengan adanya hubungan kerja yang baik antara kerajaan dan pembangkang.
Beliau berdukacita hubungan itu diambil mudah tanpa timbal balik.
“Nampaknya, walaupun dengan adanya MoU, kerajaan masih belum mahu mengubah watak perkauman dan keagamaannya.”
Ramasamy berkata, tidak salah untuk dikatakan komuniti etnik yang telah menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara dilayan seperti “sampingan” kepada sistem.
Ini kerana, sumbangan kepada sekolah vernakular dan beberapa komuniti etnik terpinggir – yang disifatkan sekadar tanda pengiktirafan – tidak menangani rungutan secara berkesan.
“Masalah asasnya bukan bajet semata-mata tetapi sistem politik dan ekonomi yang menentukan dasar,” katanya.
Beliau mendakwa belanjawan itu bertujuan mengukuhkan kuasa penyandang dan bukan untuk menangani rungutan sosial dan ekonomi rakyat keseluruhan.
Katanya, belanjawan kali ini nampak lebih baik dari segi luaran berbanding bajet sebelum ini, walaupun peningkatan kewangan “sana sini” yang sedikit itu tidak menunjukkan kepada rakyat kebergunaan seluruh rancangan fiskal itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.