KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyifatkan Bajet 2022 menggambarkan komitmen kerajaan memastikan nasib mahasiswa kekal terbela dalam era pasca pandemik COVID-19.
Presiden MPPK, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, berkata ia terbukti berdasarkan pelbagai inisiatif khas untuk mahasiswa dan graduan universiti dalam belanjawan negara tahun hadapan.
Beliau juga melihat Bajet 2022 sebagai inklusif dan menepati aspirasi Keluarga Malaysia, sejajar matlamat dan hasrat kerajaan membantu rakyat dan negara bangkit semula selepas pandemik.
"MPPK mengucapkan penghargaan kepada pihak kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana terus mendengar suara dan denyut nadi mahasiswa.
"MPPK juga menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pengajian Tinggi pimpinan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad kerana berusaha memastikan keperluan mahasiswa terus terjaga melalui Bajet 2022.
"Kami percaya kerajaan sudah melakukan usaha yang terbaik dalam memastikan mahasiswa juga mendapat manfaat daripada Bajet 2022," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat hari ini, menyentuh sejumlah inisiatif untuk mahasiswa, antaranya Inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia yang bakal memanfaatkan lebih 600,000 pelajar kumpulan B40.
Selain itu, kerajaan turut mengumumkan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) antara 10 hingga 15 peratus bermula 1 November ini hingga 30 April tahun depan.
Inisiatif MySTEP pula diteruskan dengan menawarkan lebih 80,000 penempatan pekerjaan, meneruskan insentif RM900 kepada pelajar yang menjalani latihan industri, serta memperuntukkan RM6.6 bilion untuk memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Selain itu, kerajaan juga akan mengkreditkan RM150 kepada mahasiswa dan belia berusia 18 hingga 20 tahun melalui akaun e-dompet bagi membolehkan mereka membeli barang keperluan menggunakan Skim Transaksi Tanpa Tunai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.