Sabtu, 30 Oktober 2021

Bajet 2022: Pulihkan keyakinan rakyat, bukan sekadar gula-gula pilihan raya, kata Bersatu Sarawak

Pengumuman Bajet 2022 adalah susulan hasil kejayaan program imunisasi 
Covid-19 dirancang di bawah kepimpinan Muhyiddin Yassin, sebelum ini, 
kata Pengerusi Bersatu Sarawak Jaziri Alkaf Suffian.

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengembalikan keyakinan rakyat menerusi Bajet 2022, bukan sekadar menabur gula-gula menjelang pilihan raya, kata Pengerusi Bersatu Sarawak Jaziri Alkaf Suffian.

Beliau yang juga Senator, berkata tumpuan utama kerajaan adalah memulihkan ekonomi, serta sosial rakyat negara ini dan bukan sekadar berpolemik.

“Apa yang penting kita perlu kembalikan keyakinan rakyat dan pulihkan ekonomi serta sosial negara, dan bukan sekadar polemik atau gula-gula untuk rakyat untuk persediaan pilihan raya.

“Walau apapun rakyat perlu diutamakan dan jangan lagi biarkan ada mereka yang masih kelaparan dan tidak bekerja. Itu lebih penting ketika ini,” katanya dalam kenyataan.

Jaziri ketika mengulas lanjut, berkata pengumuman Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, semalam, susulan daripada hasil kejayaan program imunisasi Covid-19 dirancang di bawah kepimpinan Muhyiddin Yassin, sebelum ini.

“Rakyat sudah menikmati hasilnya sekarang serta mula lega dan bebas bergerak selain ekonomi kembali rancak bersama beberapa sektor lain yg sudah turut menarik nafas lega,” katanya.

Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan pembentangan Bajet 2022 berjumlah RM332.1 bilion, sekaligus menjadi bajet terbesar pernah dibentangkan kerajaan dalam usaha mendepani era pascapandemik.

Jaziri berkata, Sarawak masih memerlukan peruntukan besar dalam membina dan menaik taraf kemudahan infrastruktur terutama di kawasan luar bandarnya.

“Namun, saya juga faham akan keadaan negara ketika ini yang baharu bernafas kembali, setelah dilanda pandemik hampir dua tahun yang amat memberi kesan kepada rakyat dan negara. Pada masa sama saya berharap tumpuan lebih dapat diberikan kepada Sarawak pada masa hadapan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.