BERA: Kira-kira 8,000 klinik swasta dan pakar yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan akan mengambil alih program vaksinasi selepas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ditutup.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, klinik swasta dan pakar terbabit bukan sahaja berfungsi pada hari-hari biasa tetapi juga ketika musim tengkujuh yang dijangka melanda Pantai Timur pada pertengahan bulan depan.
Menurutnya, pada ketika ini pun, sudah banyak PPV termasuk yang berstatus mega ditutup dan kerajaan akan menyerahkan kepada klinik swasta dan pakar untuk meneruskan proses vaksinasi.
“Sebelum ini kita sudah ada lebih 2,000 klinik swasta berdaftar bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), dan sekarang kita ada 8,000 lebih yang akan meneruskan program ini (vaksinasi).
“Ini bermakna program suntikan vaksin tidak akan terjejas sepanjang musim tengkujuh dan kita juga yakin dapat melengkapkan proses suntikan vaksin untuk remaja pada 21 November ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas melawat PPV Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Triang 2 dekat sini hari ini.
Noor Azmi turut memaklumkan, walaupun kebanyakan PPV sudah ditutup, orang ramai yang masih belum menerima suntikan vaksin boleh mengunjungi klinik kesihatan berhampiran bagi mendapatkan temu janji dan suntikan vaksin mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan usaha mengatur pertemuan antara wakil Kementerian Kesihatan dengan wakil kumpulan antivaksin masih belum berhasil.
Beliau berkata, cadangan untuk mengadakan perjumpaan dengan golongan itu adalah bagi memberikan penerangan berkaitan kepentingan vaksin.
“Saya mencadangkan perjumpaan dengan golongan antivaksin adalah bagi memberi penerangan kerana saya bimbang mereka mendapat maklumat yang salah atau persepsi yang salah, anggapan yang salah.
“Tapi setakat ini, tidak ada (kumpulan antivaksin) yang ‘respons’ dengan saya… tidak ada respons, ‘nobody say yes’… mereka tak nak (jumpa),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas status cadangan dikemukakan dalam sidang Dewan Rakyat pada 17 Oktober lalu untuk mengadakan perjumpaan dengan kumpulan antivaksin yang masih dengan pendirian menolak pengambilan vaksin Covid-19 ditawarkan secara percuma oleh kerajaan.
Selain membabitkan Menteri Kesihatan,
Khairy Jamaluddin, pertemuan dirancang itu juga akan mengemukakan data
klinikal yang sahih berkaitan kajian membabitkan vaksin kepada kumpulan
berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.