PETALING JAYA: Lupa dan tidak tahu mengimbas kod QR MySejahtera antara alasan 15 pengunjung Pulau Pangkor yang dikompaun RM23,000 kerana melanggar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Ketua Polis Daerah Manjung Nor Omar Sappi berkata, kompaun bernilai keseluruhan RM23,000 itu dikenakan hasil pemantauan ke atas pengunjung di kedai makan, premis membeli-belah dan lokasi pelancongan sekitar pulau bebas cukai berkenaan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati masih ada pengunjung yang tidak memakai pelitup muka dan tidak mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera.
“Daripada jumlah kompaun yang dikeluarkan itu, 12 individu gagal mendaftar masuk premis menggunakan aplikasi MySejahtera dengan ada yang memberi alasan lupa dan tidak tahu (perlu) untuk mengimbas di aplikasi berkenaan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Omar berkata, tiga lagi individu dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
Tambah beliau, pemeriksaan bermula jam 10 pagi itu dibuat untuk memastikan semua pengunjung mematuhi SOP Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang masih berkuatkuasa.
“Orang ramai dinasihatkan untuk terus kekal mematuhi SOP sekali gus melaksanakan kawalan kendiri sebaik mungkin dalam menghadapi cabaran penularan virus ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.