Berkapasiti 1,200 katil susulan penutupan tiga PKRC di IPTA
KUALA TERENGGANU – Terengganu membuka sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang baharu di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, yang mula beroperasi, hari ini.
Pengarah Kesihatan Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata, pembukaan PKRC yang berkapasiti 1,200 katil itu, adalah susulan penutupan tiga PKRC di Institut Pengajian Tinggi Awam yang kini sedang bersedia untuk menerima kemasukan pelajar pada 15 Okt ini.
“Pembukaan PKRC baharu ini bukanlah bermaksud situasi COVID-19 di Terengganu semakin teruk,” katanya.
Tiga PKRC tersebut, yang ditutup secara berperingkat sejak bulan lepas, ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering di sini, Universiti Malaysia Terengganu di Kuala Nerus dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan di Besut.
Dalam pada itu, Dr Kasemani berkata, dianggarkan seramai 138,100 remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negeri ini layak menerima vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.
“Daripada jumlah itu, seramai 101,000 remaja adalah pelajar sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan pelajar sekolah swasta. Setakat semalam, kita telah memberi suntikan kepada 30,494 remaja,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.