HARAKAH DAILY
KOTA BHARU: Projek pembinaan Lebuh Raya Utama Tengah
(CSR) dan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai yang dijangka siap pada
2025, merupakan berita gembira buat rakyat Kelantan.
Ahli
perniagaan, Mohd Amizul Fazly Muhamed Sudin, 42, berkata selain dapat
merancakkan ekonomi di negeri ini, usaha pembinaan lebuh raya itu secara
tidak langsung menggembirakan anak Kelantan terutama yang berada di
perantauan kerana kebiasaannya mereka terpaksa menempuh perjalanan
sehingga 20 jam ketika musim perayaan.
“Insya-Allah pembinaan lebuh raya ini juga akan mempercepatkan masa laluan Kelantan-Kuala Lumpur dan sudah pasti ia menggembirakan rakyat Kelantan yang sudah lama mengimpikan pembangunan.
“Tahun 2025 siap sepenuhnya, namun dalam masa yang sama, beberapa peringkat lebuh raya itu akan dapat digunakan contohnya Bentong ke Raub dan Merapoh-Kuala Lipis yang telah siap dan dibuka,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, berkata beberapa perancangan dan sasaran digariskan dalam RMK12 yang akan dilaksana dan dicapai dalam tempoh pelaksanaan pelan itu dari 2021 hingga 2025.
Antaranya termasuklah Projek Central Spine Road dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan dijadualkan siap sepenuhnya pada 2025.
Sementara itu, pekerja swasta, Afrizam Arif, 42, berkata struktur projek itu sudah dapat dilihat pada masa ini dan telah memudahkan perjalanan penduduk seperti dari Pasir Hor ke Ketereh.
“Saya tidak sabar menunggu lebuh raya ini siap sepenuhnya hingga ke Kuala Krai. Malah, sekarang pun penduduk lebih gemar memilih untuk melalui lebuh raya ini bagi mengelak kesesakan di jalan raya biasa,” katanya yang tinggal di Kampung Badol, dekat Bachok.
Bagi suri rumah, Fatilah Hasni Ibrahim, 43, berkata pembinaan CSR iaitu lebuh raya pertama di Kelantan itu sudah menampakkan potensi terhadap pembangunan di negeri ini.
“Saya percaya pembaikan yang dibuat kerajaan akan memberi manfaat yang membolehkan masyarakat bergerak lebih maju di kawasan setempat dengan negeri-negeri yang terlibat,” katanya. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.