Rabu, 29 September 2021

Lembah Klang beralih ke Fasa 3 mulai 1 Oktober

MALAYSIA NOW

Penonton dan penyokong dibenarkan untuk hadir ke acara sukan adalah antara kelonggaran baru diumumkan perdana menteri hari ini.

Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor akan beralih dari Fasa Dua ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 1 Oktober, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Selain Lembah Klang, Melaka juga bakal beralih dari Fasa Dua ke Fasa Tiga, sementara Kedah akan beralih dari Fasa Satu ke Fasa Dua.

Dengan pengumuman hari ini, tiada lagi negeri yang berada di Fasa Satu PPN, sementara enam negeri termasuk Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Johor dan Sabah berada di Fasa Dua.

Lapan negeri akan berada di Fasa Tiga termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Melaka, Perlis, Pahang, Terengganu dan Sarawak.

Labuan dan Negeri Sembilan pula kekal menjadi dua buah negeri yang berada di Fasa Empat.

Dalam pada itu, Ismail turut mengumumkan beberapa kelonggaran baru dengan beberapa syarat termasuk:

1. Majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuklah perasmian dan bengkel, dibenarkan di negeri Fasa Dua dan Fasa Tiga, dengan syarat tetamu telah menerima vaksinasi lengkap dan kapasiti 50% ruang premis, manakala 100% kapasiti penuh bagi Fasa 4.

Bagi individu yang belum divaksin, perlu menjalani “preevent test” menggunakan kit ujian kendiri (saliva) sebelum hadir dengan disaksikan oleh penganjur atau pengesahan daripada pengamal perubatan.

2. Pembukaan sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri termasuk kolej vokasional, TVET dan sebagainya di semua fasa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan pembukaan institut pengajian tinggi (IPT) berkuat kuasa 15 Oktober 2021.

3. Membenarkan kehadiran penonton/penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa Dua, Fasa Tiga, dan Fasa Empat. Kehadiran ini meliputi sebelum, semasa dan selepas acara sukan serta rekreasi dengan syarat, penonton/penyokong telah menerima vaksinasi lengkap, memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium.

Bagaimanapun, kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan di tempat acara sukan berlangsung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.