Oleh ASLANI M
KOTA BHARU: Penantian rakyat Kelantan sejak lebih 30 tahun lalu untuk memiliki jalan bertaraf lebuh raya kini menjadi kenyataan.
Projek Central Spine Road dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai Kelantan dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun 2025.
Begitu juga lebuh raya Kota Bharu ke Kuala Krai dijangka siap sepenuhnya pada 2025.
Sebahagian komponen lebuh raya tersebut sejauh kira-kira 13 km sudah boleh dilalui yang menghubungkan Pasir Hor dan Ketereh, siap kira-kira dua tahun lepas.
Kini pembinaan jajaran Ketereh ke Kok Lanas sedang giat dijalankan. Malah kerajaan negeri sebelum ini juga membina sebahagian kompenan projek tersebut bagi jajaran Bukit Tiu ke Berangan Mek Nab di Machang.
Selain itu pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan dan dijangka siap pada 2026.
Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, infrastruktur dan utiliti asas yang berkualiti dan berdaya harap seperti jalan raya, rel, bekalan air dan elektrik penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.
Katanya ia juga merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
“Rangkaian rel dan jalan raya bersepadu yang menghubungkan lapangan terbang dan pelabuhan dengan kawasan perindustrian, bandar dan luar bandar akan dipertingkat.
“Ini melibatkan antaranya projek-projek utama seperti berikut Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa Satu yang menghubungkan Rawang ke Salak Selatan dijangka siap pada tahun 2022.
Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru yang merupakan jajaran akhir landasan berkembar elektrik dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru dijadualkan siap pada tahun 2023,” katanya ketika membentang Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.
Kerajaan juga meluluskan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan stesen Bukit Chagar, Johor Bahru dengan stesen Woodlands North di Singapura akan mula dibina pada hujung tahun ini.
Lebuhraya Pantai Barat yang melibatkan negeri Selangor dan Perak dijangka siap sepenuhnya pada 2024.
Perdana Menteri juga berkata, dana mudah cara khusus untuk projek infrastruktur akan diwujudkan di bawah model Perkongsian Awam Swasta atau Public Private Partnership (PPP) 3.0.
“Model pelaksanaan projek tidak akan melibatkan komitmen kewangan Kerajaan dan menggunakan kaedah Request for Proposal (RFP).
“Jawatankuasa khas PPP yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara akan ditubuhkan bagi membolehkan perundingan projek PPP dapat diselesaikan dalam tempoh setahun,” ujarnya.
Menurutnya juga pelaksanaan projek-projek di bawah model baharu tersebut dijangka dapat diumumkan pada pertengahan tahun 2022. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.