HARAKAH DAILY
SHAH ALAM: Ketua ajaran Perjalanan Mimpi Yang
Terakhir (PMYT) Masitah Ab Jalar yang membuat pengisytiharan taubatnya
(Istitabah) hari ini meminta pengikutnya untuk sama-sama bertaubat serta
kembali kepada ajaran Islam sebenar.
Pada majlis berkenaan,
Masitah, 39, juga dikenali sebagai Sittah An Nur ketika mengumumkan
pengisytiharan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah berkata
bahawa pengakuan taubat itu dibuat dengan rela hati dan tanpa paksaan
mana-mana pihak.
“Saya bertaubat kembali ke pangkal jalan dan akan mengamalkan ajaran Islam berdasarkan sumber pengetahuan dan ilmu yang benar.
“Justeru, saya menyeru kepada semua pihak atau mana-mana individu yang mendengar, mengikuti, mempercayai tentang mimpi saya agar segera menghentikan apa-apa bentuk kepercayaan atau keyakinan yang terbina berdasarkan kenyataan saya dan kembali kepada Islam yang sebenar,” katanya pada Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) hari ini.
Selesai pengisytiharan tersebut Masitah menandatangani dokumen pengisytiharan taubat.
Manakala dokumen penyaksian pengisytiharan taubat Masitah telah ditandatangani oleh Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad; Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor Dr Ahmad Shahir Makhtar dan Pengarah Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan Pendakwaan Syariah, Jabatan Kemajian Islam Malaysia Mohd Ansor Rullah Mohd Hassim.
Dalam pada itu, Mohd Shahzihan berkata pihaknya terus memantau Masitah dan sekiranya beliau melakukan perkara yang bertentangan ajaran Islam, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan ke atasnya.
“Ini adalah agama Islam, iaitu apa jua penguatkuasaan yang dilakukan adalah untuk menyelamatkan seperti keadaan sekarang contohnya jika Masitah tidak akur maka Seksyen 7 dan Seksyen 8(b) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) Tahun 1995 akan dikuatkuasakan jadi dia apabila akur, kita isytihar (taubat),” katanya.
Beliau berkata pihaknya tidak mahu mengambil tindakan yang menjadikan individu menjadi semakin jauh dari tuhan dan menjadi umat lebih rosak dan teruk.
Katanya, majlis hari ini diatur atas persetujuan Masitah dengan rela tanpa paksaan demi memberitahu kepada umum, khususnya kepada individu atau pihak yang percaya dan berpegang kepada pernyataan mimpi beliau untuk turut bersama-sama mengakui kekhilafan dilakukan, bertaubat serta kembali kepada prinsip-prinsip Islam yang benar.
Beliau berkata pada 20 Sept, Masitah dipanggil menghadiri sesi penjelasan bersama tiga orang panel pakar akidah yang dilantik oleh JAIS dan hasil daripada sesi itu Masitah telah akur, insaf dan menyesal tentang perbuatannya membuat pernyataan bercanggah dengan hukum syarak serta menyeleweng, menyimpang dari akidah Ahli Sunah Waljamaah.
Sebelum ini, tular di media sosial seorang wanita dengan gelaran Sittah Annur dikaitkan dengan ajaran sesat PMYT mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah dan memimpin pasukannya mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.
Wanita terbabit juga mendakwa dirinya mempunyai keistimewaan dan berupaya membuat ramalan berkaitan apa-apa yang akan berlaku pada masa depan. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.