Ahad, 26 September 2021

Helikopter bomba keluarkan pesakit COVID-19

GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengadakan penerbangan ihsan menyelamat seorang lelaki Orang Asli yang positif COVID-19, di Pos Dakoh, semalam.

Penerbangan itu bagi membawa keluar Gernop Anak Merom, 57, yang mengalami gejala demam dan sukar bernafas akibat jangkitan COVID-19 sejak tiga hari lalu dan memohon bantuan dibawa keluar segera.

Pegawai Perhubungan Awam, Unit Udara JBPM Berpangkalan Wilayah Tengah Subang, Mohd Farhan Marzuki berkata, penerbangan segera ke lokasi itu adalah yang kedua bulan ini.

Katanya, kru pesawat Agusta AW189 (9M-BOE) berlepas dari Pangkalan Wilayah Tengah Subang jam 12.44 tengah hari sebelum mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang jam 1.43 petang untuk membuat persiapan kru memakai pakaian pelindung peribadi (PPE).

Helikopter itu kemudian berlepas Ke Pos Dakoh jam 2.04 petang sebelum mendarat di pos terbabit jam 2.22 petang dan berpatah balik 20 minit kemudian selepas mengambil pesakit.

Mohd Farhan berkata, pesawat itu kemudian mendarat semula di Perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang jam 2.48 petang.

Beliau berkata, pesakit positif COVID-19 itu yang dalam keadaan stabil dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) dengan jentera EMRS JBPM untuk rawatan.

Katanya, penerbangan terbabit yang diketuai Juruterbang Timbalan Penguasa Bomba II, Khirulnizam Jamalyddin bersama empat lagi kru dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat.

Pada 16 September penerbangan sama kali pertama ke Pos Belatim untuk mengambil wanita Orang Asli, Asalmi Alang, 59, yang mengalami masalah gejala deman dan sukar bernafas dikesan jangkitan COVID-19

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.