SUNGAI PETANI: Dua lelaki ditemukan meninggal dunia ketika berada di sebuah rumah teres yang dijadikan pusat rawatan psikiatri di Tikam Batu, dekat sini.
Dua lelaki terbabit masing-masing berusia 25 dan 20 tahun adalah penghuni yang menjalani rawatan di premis berkenaan dan mereka meninggal dunia kelmarin dan semalam.
Mayat penghuni yang berusia 25 tahun dan berasal dari Negeri Sembilan ditemui pengurus pusat rawatan terbabit jam 8.20 malam kelmarin ketika dia mengejutkan mangsa untuk makan ubat.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Shah, berkata mangsa sebelum itu baru selesai makan malam dan dia kemudian berbaring di ruang tamu.
"Pengurus pusat rawatan terbabit kemudian cuba mengejutkan mangsa untuk makan ubat namun tiada sebarang tindak balas membuatkan dia bimbang dan menghubungi hospital.
"Petugas kesihatan yang tiba tidak lama kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia," katanya kepada BH, hari ini.
Lokasi terbabit kemudian disanitasi dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk ujian saringan COVID-19 sebelum proses bedah siasat.
Sementara itu, Adzli berkata, seorang lagi penghuni turut ditemui meninggal dunia kira-kira jam 1 tengah hari, semalam ketika berada di pusat rawatan terbabit.
"Mangsa yang berusia 20 tahun berasal dari Perak itu ditemui tidak sedarkan diri oleh penyelia pusat rawatan berkenaan yang kemudian menghubungi hospital.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa sudah meninggal dunia dan dia sudah mendapat suntikan vaksin pada 17 September lalu," katanya.
Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk saringan COVID-19 sebelum bedah siasat yang dijangka akan dilakukan hari ini.
"Hasil siasatan lanjut mendapati kematian dua mangsa terbabit tidak
mempunyai sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati
mengejut," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.