Sabtu, 25 September 2021

Dosa fitnah di hujung jari, jangan sampai terjerumus ke lembah kehinaan

 Siti Hafidah

Penyakit sosial yang buruk hingga berlaku perpecahan

BANGI– Umat Islam perlu sedar bahawa fitnah adalah berdosa besar dan boleh menjerumuskan diri ke lembah kehinaan.

Menerusi teks khutbah Jumaat, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkata, pada zaman serba moden dan canggih ini, gejala fitnah berleluasa dengan semakin pantas, ditambah lagi dengan adanya pelbagai platform media sosial dan internet di hujung jari.

Katanya, jika dahulu fitnah disebarkan secara ‘telinga ke telinga’ atau melalui lisan, mungkin mengambil masa yang agak lama untuk disebarkan, tetapi kini ia hanya mengambil masa beberapa saat sahaja untuk tersebar ke seluruh dunia.

“Fitnah tersebar melalui hujung jari sahaja hanya dengan menggunakan telefon pintar atau skrin komputer yang membolehkan sesiapa sahaja mencipta sesuatu fitnah dan menyebarkannya kepada semua orang.

“Hal ini bukan sahaja memburukkan maruah mangsa fitnah, malah lebih malang lagi ia mampu membawa kepada penyakit sosial yang buruk dengan berlakunya perpecahan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

JAIS turut mengingatkan bahawa pembuat fitnah akan menjadi penghuni neraka Jahanam, manakala individu yang menyebar dan mempercayai fitnah tersebut juga akan menerima dosa dan balasan yang sama.

“Oleh kerana betapa buruknya kesan terhadap kehidupan umat Islam akibat daripada penyebaran fitnah, maka marilah sama-sama kita berusaha menjadi antara orang-orang yang sentiasa menyebar kedamaian dan saling memperkukuhkan persaudaraan.

“Jadilah sebagai seorang mukmin yang sejati seperti yang dinyatakan oleh firman Allah SWT dalam surah al-Hujarat ayat 10,” katanya.

Mengakhiri khutbah, JAIS berkata, umat Islam perlu tahu bahawa diam itu lebih baik, bercakap apa yang perlu dan sebarkan perkara yang bermanfaat sahaja.

“Umat Islam hendaklah sentiasa menjaga lisan dengan baik dan bijak supaya dilindungi dan diredai Allah SWT di dunia dan akhirat.

“Mereka juga perlu sedar bahawa meskipun pintu taubat itu terbentang luas, ia ada tarikh akhirnya. Maka segerakanlah bertaubat kepada Allah SWT,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.