Khamis, 30 September 2021

Dasar imigresen faktor Malaysia jadi transit kumpulan pengganas

Azzman Abdul Jamal

Kumpulan pengganas sifatkan Malaysia sebagai negara 'safe haven'.

Dasar imigresen yang mesra dilihat sebagai antara faktor Malaysia dijadikan sebagai negara transit oleh kumpulan pengganas, kata Penolong Pengarah Cawangan Khas Bahagian Counter Terrorism (E8) Normah Ishak.

Beliau berkata, disebabkan hanya dijadikan sebagai negara transit, Malaysia disifatkan sebagai “safe haven” atau lokasi selamat dan kumpulan pengganas dipercayai akan cuba elakkan sebarang konfrontasi dengan pihak berkuasa.

Katanya, ini menyebabkan kumpulan tersebut akan bergerak secara senyap dan tidak akan menimbulkan sebarang kekecohan di negara ini.

“Pengganas dari Asia Barat dan negara lain termasuk Eropah juga transit di Malaysia dan mungkin akan ke Korea Selatan atau negara lain kerana Malaysia mempunyai dasar imigresen yang mesra yang mana kami menerima kemasukan pengunjung kebanyakkan negara Pertubuhan Islam Antarabangsa (OIC) menerusi visa.

“Itu adalah antara faktor tarikan untuk mereka datang dan transit sebelum meneruskan perjalanan ke negara lain,” katanya pada sesi Webinar bertajuk Peranan Wanita dalam Pembiayaan Aktiviti Keganasan: Apakah Tindakan Kerajaan dan Ketua Pegawai Keselamatan.

Mengulas lanjut, beliau percaya individu yang terlibat dengen pegenboman geraja di Jolo, Sulu di Filipina pada Januari 2019 turut menggunakan Malaysia sebagai transit sebelum tiba ke Selatan Filipina.

“Kawasan itu mungkin dilihat sebagai lokasi untuk melakukan ‘jihad’. Sebab itu ada pejuang ekstrimis dari Asia Barat dan negara luar termasuk Malaysia dan Indonesia.

“Mereka hanya transit di Malaysia dan pada masa itu, mereka akan cuba sebaik mungkin untuk elakkan konfrontasi dengan pihak berkuasa,” jelasnya.

Sementara itu, Normah berkata, polis menahan seramai 558 individu termasuk 51 wanita yang terlibat dengan kumpulan pengganas sejak 2013 hingga kini.

“80% daripada pendakwaan melibatkan kes memiliki barang berkaitan kumpulan pengganas. Setakat ini tiada kes melibatkan pembiayaan aktiviti keganasan di Malaysia melibatkan wanita.

“Tetapi kami tidak menolak kemungkinan penglibatan mereka dalam hal ini. Mungkin ada yang terlibat tetapi bukan di Malaysia cuma di luar negara seperti di Syria,” katanya.

Beliau menambah, hasil siasatan mendapati sebab utama wanita tempatan ingin ke Syria adalah kerana mereka ingin memberi sokongan kepada suami atau kekasih mereka di negara itu.

“Impian mereka adalah untuk hidup dalam negara Islam dan mereka sangat yakin bahawa situ adalah satu-satunya negara Islam.

“Selain itu, mereka anggap akan mati syahid jika terkorban dalam perjuangan di negara tersebut,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.