Rabu, 1 September 2021

Dah 3 kali Mokhtar bangkitkan isu bantuan sekolah pondok tapi...

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Seorang ulama kanan PAS hari ini menceritakan bagaimana dia masih tertunggu-tunggu bantuan kerajaan untuk pondok-pondok di seluruh negara yang didakwanya masih belum diterima.

Menceritakan secara ringkas hal itu Mokhtar Senik berkata sudah tiga kali dia membangkitkan isu berkenaan dan setiap kali itu juga ada pihak - yang tidak dinamakannya - menunjukkan bahawa bantuan tersebut sudah diedarkan.

Menurut anggota Jawatankuasa Ulama PAS Pusat itu, kali pertama dia membangkitkan isu berkenaan seorang rakan di Facebook menghantarkan berita mengenai kelulusan peruntukan tersebut.

Ia kemudian dimaklumkan agar menunggu masa untuk bantuan berkenaan diagihkan "ke bawah" saja.

"Kali kedua saya sebut lagi, mana bajet yang dah lulus tu?

"Seorang rakan Facebook print screen (tangkap layar) kat saya berita penyerahan bantuan dibuat di beberapa buah pondok dan pusat pengajian di Kelantan.

"Alhamdulillah, kami tunggu sebab banyak pondok yang mendapat bantuan tahunan sudah kekeringan untuk operasi," katanya dalam hantaran di media sosial pagi ini.

Banyak bil tertunggak

Bagaimanapun kata Mokhtar apabila dia bertanya "ke sekeliling negara" didapati "90 peratus" pondok terbabit masih belum menerima sebarang bantuan kecuali melibatkan sumbangan berkaitan Covid-19.

Mokhtar yang juga pengerusi Pertubuhan Muafakat Pondok Semalaysia (PMPS) berpendapat bantuan tersebut adalah dari peruntukan yang lain.

Terbaru Mokhtar memberitahu dia membangkitkan isu berkenaan untuk kali ketiga dan dibalas oleh seseorang dengan tangkap layar membabitkan berita mengenainya.

Kata pengasas Pusat Pendidikan an-Nuur itu lagi, laporan berkenaan memetik menteri agama yang menyebut mengenai puluhan juta ringgit dana yang akan disalurkan kepada pondok-pondok menjelang akhir Ogos.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad

Untuk rekod menteri yang bertanggunggjawab dalam hal ehwal Islam sebelum ini disandang oleh bekas mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohamad,  manakala timbalannya Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary.

Selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berundur kerana kehilangan sokongan majoriti, perdana menteri baru, Ismail Sabri Yaakob, melantik Naib Presiden PAS Idris Ahmad mengisi tempat Zulkifli.

Kedua-dua mereka merupakan anggota Dewan Negara.

Mokhtar merupakan salah seorang ulama PAS yang selalu menonjol dan gigih dengan kegiatan pendidikan pondok.

Pada 23 Ogos lalu dia memuat naik gambar bil-bil elektrik Pondok an-Nuur dan notis Tenaga Nasional Bhd untuk memotong bekalannya kerana menanggung tunggakan.

Daripada paparan gambar itu didapati bil yang tertunggak itu melibatkan jumlah RM200 sehingga lebih RM8,000.

Mokhtar kemudian meminta agar jika ada sesiapa yang mahu membantu membayarkan bil tersebut agar menyalurkan sumbangan masing-masing ke akaun Pondok an-Nuur.

Kata Mokhtar hari ini, mewakili pondok di seluruh negara dia menyatakan mereka masih menunggu-nunggu bantuan yang pernah dijanjikan kerajaan.

"Harap-harap perjuangan baik menteri agama terdahulu akan diteruskan oleh menteri agama yang baru YB Senator Ustaz Idris Ahmad," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.