Oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM
PETALING JAYA: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) cedera selepas terjun daripada jejantas di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) menghala Shah Alam berhampiran Setia Walk, Puchong di sini, petang tadi.
Wanita berusia 44 tahun itu cedera di mata kiri, bibir dan kaki kiri disyaki patah serta dirawat di Hospital Serdang.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A . Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 5.25 petang apabila mangsa terbaring cedera parah di lorong kiri di lokasi kejadian.
Katanya, difahamkan mangsa mempunyai masalah mental dan mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Teluk Intan, Perak namun datang ke Selangor sejak empat bulan lalu untuk dijaga abangnya.
“Punca tindakan berikutan mangsa selisih faham dengan keluarganya lalu mengalami tekanan dan cuba untuk membunuh diri.
“Punca perselisihan faham adalah kerana mangsa selalu merayau dan menghilangkan sehingga ditegur oleh abangnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, setiap dua minggu mangsa turut mendapatkan suntikan untuk rawatan psikiatri di Klinik Kesihatan Batu 14, Puchong.
Ujarnya, mangsa masih perlu mendapatkan rawatan dan keadaan kini stabil. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.