Sabtu, 28 Ogos 2021

Tak dilantik semula seperti Noraini, ini kata Shamsul Anuar


Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah hari ini secara tidak langsung mengakui peranannya menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika mengulas pelantikan barisan Kabinet baharu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, Ahli Parlimen Lenggong itu bangga kerana turut berperanan meletakkan kembali UMNO untuk menerajui Kerajaan Malaysia.

Umum mengetahui Shamsul Anuar adalah menteri Kabinet pertama dalam Kerajaan PN yang meletak jawatan dan menyertai kem Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama 13 lagi Ahli Parlimen (MP) parti itu menarik balik sokongan kepada Muhyiddin.

Beliau meletak jawatan Menteri Tenaga dan Sumber Asli pada 3 Ogos, sebelum disusuli Ahli Parlimen Parit Sulong, yang juga Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad, pada 6 Ogos.

Akibat tindakan 15 MP UMNO termasuk Shamsul Anuar dan Noraini itu, kerajaan PN dan Muhyiddin hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat. Muhyiddin kemudian mengambil keputusan meletak jawatan Perdana Menteri pada 16 Ogos lalu.

Parti komponen PN berjumlah 50 MP dan empat MP Bebas kemudian memberi sokongan kepada Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO untuk menjadi Perdana Menteri ke-9, dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, sebelum mengangkat sumpah jawatan pada 22 Ogos lalu.

Hari ini Ismail Sabri mengumumkan barisan Kabinetnya, tetapi tidak melantik Shamsul Anuar ke jawatan menteri, sebaliknya Noraini dipilih untuk kembali memegang portfolio lamanya sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

Dalam kenyataan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri di atas pelantikan barisan Kabinet hari ini, Shamsul Anuar berharap Jemaah Menteri baharu itu melakukan yang terbaik untuk negara dan rakyat.

“Saya rakamkan ucapan tahniah diatas pembentukan barisan kabinet oleh YAB Perdana Menteri Malaysia. Harapannya pasukan ini akan melakukan yang terbaik untuk negara dan rakyat kerana itulah yang ditunggu oleh semua.

“Saya pastinya bersyukur kerana UMNO BN kembali menerajui Kerajaan. Dan saya dapat sedikit menyumbang hingga UMNO kembali menerajui serta membentuk Kerajaan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.