Prosedur operasi standard (SOP) di pusat pemberian vaksin (PPV) terutama yang berskala mega diperketat, sementara sistem pengisian borang persetujuan suntikan ditingkatkan bagi mengurangkan risiko lokasi itu menjadi tempat penularan jangkitan Covid-19.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata selain aspek penjarakan masa dan fizikal, pihaknya juga berusaha mempercepatkan proses vaksinasi individu di dalam PPV, antaranya menerusi ciri baharu aplikasi MySejahtera iaitu borang persetujuan digital.
Menerusi pengenalan ciri baharu itu, Khairy berkata penerima vaksin tidak perlu lagi mengisi borang secara manual, sekali gus membantu melancarkan proses vaksinasi, menjimatkan masa serta mengurangkan risiko penularan Covid-19.
“Di Lembah Klang, dalam keadaan jangkitan menular secara sporadik, susah kita memastikan bahawa punca itu di tempat-tempat tertentu terutama di PPV, malah saya sedang melihat isu ini untuk kita pastikan SOP kita di PPV mega dapat diperketat dan ditingkatkan tiap-tiap hari.
“Menerusi pendekatan-pendekatan seperti itu dan mempercepatkan proses vakinasi, saya difahamkan sekarang ini untuk dos kedua sebagai contoh, 20 minit masuk, lepas itu dengan tempoh pemerhatian 20 minit, selesai, ini akan mengurangkan masa kita berada di dalam PPV,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu pada program ‘Janji Temu Bersama Ras: Tangani Pandemik Covid-19 Bersama’ terbitan Bernama TV yang dihoskan Senator Datuk Ras Adiba Radzi malam ini.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata pihaknya juga mengadakan kerjasama dengan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bagi melaksanakan kajian sistem pengudaraan di beberapa PPV mega dalam memastikan kualiti pengudaraan berada dalam keadaan baik.
Mengulas kesesakan yang berlaku di PPV KLCC baru-baru ini, beliau berkata ia berpunca daripada penerima vaksin bukan warganegara yang datang serentak walaupun mempunyai waktu janji temu yang berbeza-beza, namun pihaknya dapat mengendalikan hal itu dalam tempoh singkat.
Sementata itu Khairy berkata operasi lonjakan kapasiti bagi meningkatkan kadar pemberian vaksinasi dan membendung penularan jangkitan akan diteruskan di kawasan lain selepas ia selesai dijalankan di Lembah Klang.
Katanya operasi lonjakan kapasiti di Lembah Klang itu merupakan yang ketiga seumpanya dilaksanakan mengikut pendekatan kawalan wabak, kali pertama dijalankan di Labuan yang terbukti menunjukkan penurunan jangkitan dan kemasukan ke hospital.
Khairy berkata setakat ini Malaysia mempunyai kadar pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 yang agak tinggi dengan 82 peratus daripada populasi dewasa sudah membuat pendaftaran dan hanya 18 peratus masih belum berbuat demikian.
“Saya percaya mereka akan daftar apabila mereka dengar pengumuman yang bakal dibuat Perdana Menteri iaitu apakah kemudahan-kemudahan yang akan diberi kepada mereka yang telah lengkap menerima dua dos vaksin, saya tidak mahu mendahului Perdana Menteri,” katanya.
Berhubung penetapan harga siling vaksin Covid-19, Khairy berkata perkara itu akan dibincangkan beliau bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dalam masa terdekat ini.
“…agar tidak ada penjualan (vaksin) dibuat dengan harga terlalu tinggi, walaupun ini pasaran swasta namun vaksin ini satu barang diperlukan untuk pandemik, jadi tidak adil mana-mana pihak dapat keuntungan terlalu besar daripada penjualan vaksin ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Khairy berkata Malaysia sedang berunding dengan Kesatuan Eropah supaya menerima sijil digital vaksin MySejahtera untuk rakyat Malaysia masuk ke negara Eropah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.