Isnin, 30 Ogos 2021

Selangor takkan tutup kilang meski kes harian COVID-19 masih tinggi

 Athirah Huda Zalhe

PBT akan pastikan kilang operasi dengan syarat lesen yang ditetapkan

BANGI – Walaupun kes harian jangkitan COVID-19 di Selangor masih tinggi, operasi kilang di negeri ini tidak akan ditutup.

Keputusan dibuat bagi memastikan sektor ekonomi terus berlangsung setelah ditutup ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 selama beberapa bulan, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan negeri Selangor, Ng Sze Han.

Justeru katanya, kerajaan negeri tidak akan menutup kilang yang telah mendapat kelulusan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta mematuhi semua syarat lesen yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerajaan melalui PBT akan memastikan sesebuah kilang beroperasi dengan syarat lesen yang ditetapkan,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Nege Selangor ke-14 di Bangunan Annex, hari ini.

Sze Han menjawab soalan Long Tuck Chee (PH-Pandamaran) mengenai peruntukan kuasa yang ada pada kerajaan Selangor untuk menutup kilang di negeri ini.

Menurut Sze Han, kerajaan negeri akan menutup kilang sekiranya didapati melanggar peraturan yang ditetapkan PBT.

“Siri beberapa operasi bersepadu yang dijalankan PBT dan juga pihak berkuasa telah menutup beberapa buah kilang yang telah melakukan kesalahan di bawah PBT.

“Tapi, saya tidak ada angka berapa banyak kilang yang ditutup,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.