Menurut Loke, kali terakhir jawatankuasa itu bermesyuarat adalah dua minggu lalu.
Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke hari ini menegaskan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat melaporkan dapatannya kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan tidak tertakluk kepada kerajaan.
Loke yang juga ahli jawatankuasa itu berkata, mereka sudah selesai menjalankan tugas menasihati serta mempersembahkan laporan dan perkara yang diputuskan dalam mesyuaratnya kepada Agong.
“Ingin saya tegaskan di sini, tugas jawatankuasa ini adalah untuk menasihati Agong bukannya kerajaan. Kita tidak melaporkan kepada kerajaan tetapi terus kepada Agong.
“Apa yang diputuskan oleh jawatankuasa ada pandangan kita sendiri, jadi terpulang kepada Agong. Kerja kita adalah menasihati Agong,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.
Menurut Loke, kali terakhir jawatankuasa itu bermesyuarat adalah dua minggu lalu.
Bagaimanapun, ahli Parlimen Seremban itu enggan mendedahkan hasil keputusan jawatankuasa tersebut kerana terikat dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Perincian lanjut mengenai laporan itu kena tanya Tun Arifin Zakaria,” katanya.
Katanya, ia terpulang kepada Arifin sama ada mahu mendedahkan laporan itu atau sebaliknya.
Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 ditubuhkan pada Februari lalu mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.
Keanggotaan jawatankuasa tersebut adalah terdiri daripada pakar kesihatan dan wakil dwi-partisan kerajaan dan pembangkang dan dipengerusikan bekas ketua hakim negara Arifin Zakaria.
Loke merupakan wakil Pakatan Harapan (PH) dalam jawatankuasa itu dari DAP bersama-sama dengan Saifuddin Nasution Ismail dari PKR dan Dzulkefly Ahmad dari Amanah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.