Isnin, 2 Ogos 2021

Hadi ingatkan Raja dan pemimpin terhadap penipu, pemburu harta


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan Raja dan pemimpin negara terhadap individu penipu dan pengampu yang mendampingi mereka untuk mengejar kekayaan dunia semata-mata sehingga boleh menempah kerosakan.

“Seseorang raja atau pemimpin akan menempah kejahatan, sekiranya didampingi oleh pembohong yang mengampu, tidak ikhlas dan tidak bertaqwa kepada Allah SWT.

“Mereka menghormati pemimpin itu hanya kerana takut kepada makhluk, bukan takut kepada Allah SWT atau hanya mengejar dunia yang merosakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu jawatan sebagai pemimpin kini menjadi rebutan kerana bagi individu yang lupa kepada Hari Akhirat, kedudukan itu merupakan peluang untuk mereka mendapatkan kekayaan dan kesenangan.

“Kedudukan seorang pemimpin menjadi rebutan pada akhir zaman kerana ia merupakan peluang untuk mendapatkan kekayaan dan kesenangan dunia semata-mata. Akan tetapi, melupakan tanggungjawab yang akan dibawa ke Hari Akhirat dan segalanya akan dihisab kelak.

“Apabila seseorang pemimpin itu leka atau lemah imannya, maka sering kali jawatan paling tinggi itu dijadikan tempat bagi mengejar kekayaan sehingga tiada lagi kepuasan.

“Begitu juga para pemimpin yang dikelilingi oleh para pengampu yang menipu dan melalaikan bersamanya. Mereka itu dianggap sebagai kawan yang setia, tetapi sebenarnya makhluk perosak yang mengipasnya supaya terus lalai dan leka,” kata Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu.

Sehubungan itu Abdul Hadi mengingatkan bahawa manusia yang menjadi pemimpin bukan sahaja mesti memiliki ilmu dan kebijaksanaan, sebaliknya perlu didampingi oleh penasihat daripada kalangan menteri dan pegawai yang berakhlak mulia.

Memetik ayat 72 Surah al-Ahzab, beliau berkata ketua negara, Raja atau pemimpin utama adalah jawatan dan kedudukan yang menjadi amanah paling besar bagi manusia yang ditolak oleh makhluk langit dan bumi kerana takutkan balasan Allah SWT.

“Jika seseorang Rasul itu menjadi pemimpin, Baginda mendapat petunjuk secara langsung daripada Allah SWT melalui penurunan wahyu.

“Adapun jika seseorang manusia biasa pula menjadi pemimpin, tidak cukup dengan ilmu dan kebijaksanaan akalnya sahaja tetapi mestilah didampingi oleh penasihat daripada kalangan menteri dan para pegawai yang berakhlak mulia, secara zahirnya bijak dan batinnya benar dan ikhlas. Benar percakapan dan hatinya, ikhlas pada niatnya kerana Allah SWT dan bertaqwa (takut) kepada-Nya,” katanya.

Kenyataan penuh di ruang Rencana Agenda Daily.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.