Sabtu, 28 Ogos 2021

Ahmad Sarji meninggal dunia

Ahmad Sarji adalah Ketua Setiausaha Negara pada era pentadbiran Perdana 
Menteri keempat, Dr. Mahathir Mohamad dari 1990 hingga 1996. (Gambar 
Bernama)

PETALING JAYA: Bekas ketua setiausaha negara, Ahmad Sarji Abdul Hamid, 83, meninggal dunia di sebuah hospital di ibu negara awal pagi tadi.

Perkara itu disahkan Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali menerusi Facebook beliau sebentar tadi.

“Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid di atas pemergian Allahyarham yang telah meninggal dunia pada 28 Ogos 2021, jam 1.40 pagi.

“Allahyarham merupakan mantan Ketua Setiausaha Negara dari 1990 hingga 1996 dan seorang tokoh pentadbir perkhidmatan awam yang amat disegani serta dihormati sewaktu dalam perkhidmatan,” katanya.

Zuki berkata, pemergian Ahmad Sarji yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) merupakan kehilangan besar buat negara.

“Pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar buat negara melalui jasa dan bakti yang telah dicurahkan selama ini. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama para solihin,” katanya.

Pada 7 Ogos lalu, media melaporkan Ahmad Sarji dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras akibat komplikasi Covid-19.

Ahmad Sarji adalah Ketua Setiausaha Negara ketika era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Dr Mahathir Mohamad dari 1990 hingga 1996.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.