Khamis, 1 Julai 2021

Ustaz Ebit Lew beli dua lori barang ubatan, bantu hospital Gaza musnah dibom

 Siti Hafidah

Sebak fikirkan anak seorang doktor hilang semua ahli keluarga

BANGI – Misi kemanusiaan diteruskan, kali ini pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew membeli keperluan hospital bagi menggantikan kemudahan yang musnah teruk susulan pengeboman di Gaza.

Antaranya termasuk kerusi roda, mesin dialisis, ubat-ubatan serta semua jenis keperluan lain untuk hospital.

“Syukur dapat beli dua lori barang ubatan dan terus hantar ubat-ubatan dan barang keperluan khas untuk hospital.

“Tiga hospital saya pergi. Hospital al-Syifa. Hospital besar Gaza. Sesak dengan orang.

“Saya dapat senarai dari Kementerian Kesihatan dan juga senarai hospital sendiri. Hospital al-Quds dan hospital A’mal yang dikendalikan Palestin Red Crescent,” kata Ustaz Ebit menerusi hantaran terbaru di Facebook hari ini.

Aktivis masyarakat itu memaklumkan pada awalnya, pihaknya bermesyuarat dengan Palestin Red Crescent diikuti dengan Kementerian Kesihatan dan Pengarah Hospital al-Syifa.

“Mereka gembira dan sangat berterima kasih.

“Presiden Palestin Red Crescent ceritakan masa kena bom dulu. Ketika itu hospital penuh dengan orang sedang dapatkan rawatan.

“Semua bawa lari pesakit ke luar jalan. Musnah dan kini dah buat semula. Ramai cedera dan syahid,” katanya.

Beliau turut sebak memikirkan keadaan anak kepada seorang doktor senior hospital al-Syifa yang kini hidup sebatang kara susulan keluarga termasuk bapanya terkorban dalam serangan sebelum ini.

“Sempat juga dapat nombor (telefon) anak Dr Ayman yang syahid baru ini. Doktor senior di hospital al-Syifa. Solat jenazah depan hospital.

“Keluarganya semua syahid. Tinggal seorang anak sahaja. Isteri, anak, nenek, datuk, saudara, sepupu, adik-beradik semua syahid. Tinggal anaknya itu seorang diri. Allahuakbar sedihnya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.