Ahad, 25 Julai 2021

Seorang lelaki dikhuatiri lemas akibat jatuh laut ketika memancing

Oleh NORHAYATI YAHAYA
ANGGOTA JBPM Selangor dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting menjalankan kerja-kerja pencarian di pesisir pantai hari ini.

KUALA LANGAT: Seorang lelaki dikhuatiri lemas apabila terjatuh ke laut akibat dipukul ribut ketika menjaring ikan bersama rakannya di persiaran laut Kanchong Laut Gold Coast, Tanjung Sepat di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor@Saleh berkata, keluarga mangsa yang bimbang dengan kejadian itu telah membuat laporan polis pada pukul 8.30 malam semalam.

Katanya, mangsa, K. Thineswaran, 27, yang memakai kemeja T berkolar berwarna merah dan berseluar pendek berwarna coklat telah terjatuh ke laut akibat dipukul ribut kuat manakala rakannya berjaya diselamatkan oleh nelayan di sekitar kawasan tersebut.

K. THINESWARAN dikhuatiri lemas selepas dilaporkan terjatuh daripada bot ketika memancing di persiaran laut Kanchong Laut, Tanjung Sepat petang semalam.

“Rakan mangsa bersama-sama nelayan berusaha mencarinya di kawasan berhampiran tetapi tidak berjaya menemuinya.

“Siasatan dan tindakan mencari mangsa yang hilang masih diteruskan bersama pihak bomba,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor memberitahu, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 7.53 malam dan tiba di lokasi pada pukul 9 malam.

Katanya, seramai tujuh pegawai dan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Pihak bomba yang tiba di lokasi kejadian membuat pencarian di pesisir pantai dan membuka pos kawalan bomba.

“Ketua balai berada di lokasi dan ketua zon telah dimaklumkan dengan sebarang maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Berita mengenai kehilangan Thineswaran dikongsi pengguna laman media sosial di Facebook My Kuala Langat hari ini.- UTUSAN ONLINE 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.