Jumaat, 2 Julai 2021

Penyanyi utama September Five meninggal dunia

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
Allahyarham A. Murad Hamid (dua kiri) bersama rakan-rakan di Kuantan.

BERA: Penyanyi utama dan Ketua Kumpulan September Five, Abdul Murad Abdul Hamid, 74, atau A. Murad meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, Selangor pukul 1.25 petang hari ini.

Bekas Presiden Persatuan Karyawan Pahang (Karyawan), Prof. Datuk Dr. Aripin Said berkata, maklumat kematian Allahyarham A. Murad diperolehi melalui adiknya, Abdul Aziz Hamid.

Menurutnya, Allahyarham dianggap salah seorang tokoh perkembangan muzik negeri ini kerana mempunyai pengetahuan tinggi dalam seni muzik sebagai penggubah, pencipta dan penyanyi.

“Kematian bekas pensyarah muzik Maktab Perguruan Bahasa (MPB) itu kehilangan besar keluarga, bekas pelajar dan juga peminat seni muzik negeri Pahang.

“Saya rakan sekelas Allahyarham ketika menuntut di Pusat Latihan Perguruan Harian Kuantan tahun 1967/1969 sebelum masing-masing melanjutkan pengajian lebih tinggi dan menjadi pensyarah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Aripin, A. Murad pernah memimpin pelbagai kumpulan kugiran ketika demam Pop Yeh-Yeh sebagai penyanyi utama dan kebolehannya menyanyi sambil memetik gitar amat dikagumi

Beliau berkata, antara kugiran awal yang ditubuh oleh A. Murad ialah The Breeze yang melangkah ke pertandingan akhir pertandingan Juara Kugiran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada akhir tahun 1960-an.

Bagaimanapun ujarnya, A. Murad lebih dikenang sebagai ketua kumpulan nyanyian berpadu suara September Five yang menjuarai pertandingan Bintang RTM pada 1974 yang membawa lagu Ketipang Payung lagu asal Tan Sri P. Ramlee nyanyian Puan Sri Saloma.

“Antara lagu popular Allahyarham ialah Mastika Hatiku, Cekur Udang Gamit, Bila Mungkin Jangan dan Jangan Pergi Lagi. Seni kata lagu Jangan Pergi Lagi nyanyian Allahyarham mempunyai pengertian tersendiri kepada peminat setia,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.