Khamis, 1 Julai 2021

Pahang benar ibadah korban tertakluk SOP

Athirah Huda Zalhe

Jumlah petugas tak lebih 10 orang, utama individu sudah divaksin

KUANTAN – Pahang membenarkan pelaksanaan ibadah korban tahun ini, tertakluk kepada syarat ditetapkan dan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara. 

Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menerusi kenyataan di sini hari ini, memaklumkan ibadah itu hanya boleh dilaksana di masjid yang dibenarkan dan rumah penyembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) serta empat rumah penyembelihan ruminan swasta yang dilesenkan JPV di negeri ini. 

Pihak terlibat juga perlu mengemukakan borang permohonan kepada pejabat agama Islam daerah yang diserahkan melalui pos, e-mel atau penghantaran secara pandu lalu sebelum 7 Julai, memandangkan urusan kaunter ditangguhkan buat masa ini. 

“Ibadah korban boleh dilakukan selama empat hari bermula 20 Julai dalam dua sesi iaitu pagi dan petang dengan had maksimum lima ekor haiwan pada satu-satu sesi bagi mengelak kesesakan. 

“Jumlah petugas melaksanakan ibadah itu daripada proses sembelihan hingga menimbang untuk setiap ekor haiwan tidak melebihi 10 orang dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang telah menerima suntikan vaksin COVID-19,” menurut kenyataan itu.

Menurut JAIP, mereka yang ditugaskan dalam pasukan menyembelih perlu membuat ujian saringan COVID-19 di klinik kesihatan kerajaan atau swasta tiga hari sebelum melaksanakan ibadah tersebut dengan kos ujian boleh dimasukkan dalam yuran penyertaan korban. 

Agihan daging korban pula hanya boleh dibuat secara pandu lalu atau dihantar ke rumah mereka yang layak tanpa sentuhan. 

“Pelaksanaan ibadah korban tidak dibenarkan di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Peserta korban juga tidak dibenarkan untuk berada di kawasan pelaksanaan ibadah tersebut,” menurut kenyataan itu. 

JAIP juga mengingatkan jawatankuasa pengurusan ibadah itu untuk memastikan semua SOP dipatuhi kerana pemantauan akan dilakukan oleh polis, penguat kuasa JAIP, JPV dan pejabat agama Islam daerah.

Mereka yang didapati gagal mematuhi syarat atau SOP ditetapkan boleh dikenakan kompaun atau didakwa di mahkamah di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).-  Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.