Lanjutan kontrak yang ditawarkan kerajaan didakwa tidak memenuhi tuntutan gerakan hartal.
Mogok doktor kontrak akan diteruskan pada Isnin ini di hospital dan klinik kesihatan seluruh negara selepas kerajaan didakwa gagal memenuhi beberapa tuntutan kumpulan doktor kontrak dalam perkhidmatan awam.
Wakil gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr Umar Barakah berkata, dianggarkan seramai 4,000 doktor akan menyertai mogok tersebut. Mereka akan masuk kerja pada pagi sebelum melaksanakan walk-out pada pukul 11 pagi.
“Kita nak tunjuk yang jumlah kita ini ramai, dan kalau kita tiada, sistem kesihatan akan lumpuh,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Tindakan itu diputuskan selepas tawaran kerajaan untuk melanjutkan kontrak mereka selama dua tahun didakwa tidak memenuhi tuntutan gerakan tersebut.
Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memaklumkan kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh kontrak pegawai perubatan dengan menawarkan pelantikan kontrak dua tahun selepas tempoh khidmat wajib.
Bagaimanapun, menurut gerakan berkenaan, ia hanya merupakan “gula-gula” untuk mendiamkan golongan doktor kontrak dan tidak menjamin masa depan doktor kontrak.
Dua perkara yang dituntut gerakan berkenaan ialah penyerapan ke jawatan tetap dan penjelasan mengenai kriteria untuk penyerapan 23,000 doktor kontrak yang sedang berkhidmat ketika ini.
“Selagi tiada hitam putih, tiada cop dan tanda tangan, ia hanyalah kenyataan media dan bukan pekeliling,” ujarnya mengulas kenyataan Muhyiddin.
Antara hospital yang terlibat ialah Hospital Sungai Buloh, dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Selangor, Hospital Tuanku Fauziah di Perlis dan Hospital Queen Elizabeth, Sabah.
Ujarnya, pihak hartal menjamin tidak akan menjejaskan kesihatan pesakit dalam jagaan mereka.
Menurut Umar, mereka yang ditempatkan di unit rawatan rapi digalakkan untuk kembali bekerja selepas “walk out”.
“Kita juga ada doktor kontrak yang ditempatkan di pusat pemberian vaksin. Mereka mungkin tidak ramai dan kita galakkan mereka untuk menunjukkan solidariti (sekiranya tidak boleh walk-out),” ujarnya.
Selain itu, Umar berkata gerakan hartal turut menyediakan pasukan perundangan sekiranya ada antara doktor kontrak yang menyertai hartal itu diugut atau dikenakan tindakan oleh pihak atasan.
“Kita akan terus ‘push’ dan lawan andai kerajaan berdiam diri. Kita akan tunggu respon kerajaan selepas 26 haribulan ini sebelum kita bagitahu apa pelan seterusnya.”
Pihaknya berharap ada situasi menang-menang pada masa akan datang, selain rombakan terhadap sistem kontrak.
Sistem kontrak diperkenalkan bekas perdana menteri Najib Razak untuk graduan perubatan, pergigian dan farmasi dalam pembentangan Belanjawan 2017 di Dewan Rakyat kerana kekangan jawatan tetap.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.