Akibat kehilangan pekerjaan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0, sepasang suami isteri hilang punca pendapatan dan mengambil keputusan untuk menaikkan bendera putih di hadapan rumah mereka di Kampung Gelang Mas, Pasir Mas, Kelantan untuk meminta bantuan daripada orang ramai.
Ibu kepada tiga orang anak, Salmizan Yusof, 36, berkata, suaminya yang dulunya bekerja di sebuah kedai makan hilang pekerjaan apabila tempat kerjanya tidak mengambil pekerja sewaktu PKP ini.
“Kerana suami hilang pekerjaan, kami terpaksa menanggung tunggakan sewa rumah selama tiga bulan sebanyak RM350 sebulan kerana tidak mampu membayarnya buat masa sekarang.
“Suami ada mengambil upah untuk mencuci kereta jiran-jiran dan ia tidak mencukupi kerana kami ada anak kembar kecil yang berumur sembilan bulan dan abangnya yang berumur 13 tahun.
“Jadi, selepas saya membaca kempen inisiatif rakyat untuk kibarkan bendera putih yang tular di media sosial, saya mengambil keputusan untuk membuat bendera menggunakan baju putih dan suami memasangnya semalam di hadapan rumah,” katanya ketika ditemui Malaysiakini di rumahnya.
Semalam, Malaysiakini melaporkan satu kempen inisiatif rakyat kepada rakyat dengan menaikkan bendera putih bagi memberi syarat kepada orang lain untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan segera.
Sementara itu, Salmizan berkata selepas menaikkan bendera putih, ada beberapa pihak datang memberi bantuan dengan segera.
“Saya pasang bendera dalam pukul 10 malam tadi, dan pagi tadi, tok penghulu ada datang ke rumah dan bagi sumbangan berupa susu dan kain lampin pakai buang bayi.
“Ada juga jiran yang memberi makanan seperti beras, telur dan bihun kepada kami sekeluarga,” katanya.
Tambahnya lagi, dia terharu apabila ada jiran yang cakna selepas bendera dikibarkan apabila jirannya menghubungi pihak yang memberi bantuan kepada orang ramai yang susah sempena kempen ini.
“Ada seorang individu bernama Afifee datang memberi susu bayi dan kain lampin pakai buang selepas jiran saya memaklumkan tentang bendera putih yang dikibar oleh saya kepadanya.
“Semua bantuan ini memang akan meringankan beban saya terutamanya dapat bantuan susu bayi yang memang saya perlukan sekarang untuk anak kembar kecil saya,” katanya lagi.
Sementara itu, jirannya, Azimah Che Ahmad, 28, yang melaporkan kejadian tersebut sehingga bantuan datang berkata, dia mengambil tindakan drastik dengan memaklumkan hal itu kepada pihak yang ingin memberi bantuan.
“Selepas tahu akan kempen rakyat ini, sebagai jiran, saya terus menelefon pihak yang ingin memberi bantuan yang tular di Facebook untuk membantu jiran saya.
“Saya melihat satu hantaran untuk memaklumkan isu bendera putih ini kepada seorang individu bernama Afifee yang ingin membantu dalam menjayakan kempen ini.
“Dia sudah datang tadi dan sudah beri
bantuan kepada keluarga terbabit, dia ia amat menggembirakan saya
apabila dapat membantu mereka serba sedikit,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.